Daripada Mohd Yusof Saari
TIANJIN, 17 Okt (Bernama) -- Lawatan kerja lima hari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China berjaya memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-China dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelaburan teknologi tinggi, keselamatan serta pengurusan bencana, sekali gus membuka ruang baharu bagi pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Lawatan dari 12 hingga 16 Okt itu turut menyaksikan komitmen memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), teknologi nuklear dan ekonomi digital, selain memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China.
Antara tumpuan utama ialah pembangunan Malaysia-China Institut (MCI) sebagai platform strategik bagi memperkasakan ekosistem TVET negara, khususnya dalam industri masa hadapan seperti pembuatan pintar, robotik, EV dan pendigitalan industri menerusi pemindahan teknologi serta kepakaran rakan strategik dari China.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara, menggariskan kepentingan pendekatan TVET 2.0 untuk merapatkan jurang antara institusi pendidikan, industri dan pasaran kerja, selain memastikan latihan kemahiran kekal relevan dengan keperluan sektor teknologi tinggi yang berkembang pesat.
Ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia (WVTEDC) 2026 di sini pada 16 Okt, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam pertukaran kepakaran, pembangunan standard kemahiran dan pendedahan kepada teknologi baharu bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Malaysia turut mencadangkan penubuhan Majlis TVET Dunia sebagai platform memperkukuh kerjasama antarabangsa, menyelaras perkongsian amalan terbaik serta memacu pembangunan ekosistem kemahiran global yang lebih bersepadu.
Sehubungan dengan itu, China dicadangkan menjadi sekretariat atau tuan rumah tetap bagi majlis berkenaan, sekali gus memperkukuh peranan kerjasama Malaysia-China dalam memajukan agenda TVET di peringkat antarabangsa.
Pada Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri WVTEDC, Malaysia turut mencadangkan kerangka pengiktirafan bersama kelayakan dan akreditasi rentas sempadan, selain berkongsi potensi MCI dalam memperkukuh latihan praktikal, pemindahan teknologi serta program pembangunan tenaga pengajar melalui pendekatan Train-the-Trainer.
Dalam pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang di Great Hall of the People, Beijing, pada 15 Okt, kedua-dua pihak membincangkan peluasan kerjasama perdagangan, pelaburan dan teknologi, termasuk pembaharuan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA) bagi memperkukuh perlindungan pelaburan dalam sektor strategik dan berimpak tinggi.
Malaysia juga menyatakan kesediaan menjadi penghubung antara ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC), termasuk memperluas kerjasama perdagangan, pelaburan serta penggunaan mata wang Renminbi dalam urus niaga berkaitan.
Dalam pertemuan dengan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong di Beijing pada 13 Okt, Ahmad Zahid membincangkan pengukuhan kerjasama keselamatan, perkongsian risikan dan operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan pekerjaan dalam talian dan jenayah siber.
Kedua-dua pihak turut memberi perhatian kepada pemuktamadan memorandum persefahaman (MoU) keselamatan untuk dimeterai semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Shenzhen bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pada November ini, selain mencadangkan penyambungan semula rundingan Perjanjian Ekstradisi serta memperkukuh pelaksanaan Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Dalam aspek pengurusan bencana, Malaysia mencadangkan kerjasama teknikal dengan China bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko perubahan iklim melalui penggunaan teknologi pemantauan satelit, AI dan sistem amaran awal, selain latihan bersama, pembangunan kapasiti, pertukaran pakar dan simulasi operasi.
Lawatan itu turut merangkumi perbincangan dengan China National Nuclear Corporation (CNNC) bagi meneroka kerjasama dalam teknologi nuklear, penyelidikan sains dan teknologi tinggi serta pembangunan kapasiti industri.
Antara cadangan dikemukakan ialah mengenal pasti calon pelajar Malaysia untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi yang bersesuaian di China sebelum menjalani latihan intensif di pusat latihan dan institusi kemahiran CNNC, selain menyediakan industri tempatan menyertai rantaian bekalan sektor nuklear.
Secara keseluruhannya, lawatan Ahmad Zahid mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan China melalui kerjasama yang lebih menyeluruh, berorientasikan hasil dan berpaksikan kepentingan bersama, termasuk sokongan China terhadap penyertaan penuh Malaysia dalam BRICS.
Kedua-dua negara turut menegaskan aspirasi membina Komuniti Malaysia-China Strategik Bertaraf Tinggi dengan Masa Depan Bersama demi kemakmuran rakyat dan kestabilan serantau.
-- BERNAMA