KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah lagi untuk mengulangi kejayaan muncul juara pada 2023 selepas mara ke final Terbuka Denmark dengan menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, hari ini.
Pada aksi separuh akhir di Jyske Bank Arena, Odense, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking keempat dunia tidak berdepan masalah untuk menundukkan pasangan Korea Selatan itu 21-14, 21-18 dalam tempoh 38 minit.
Kemenangan itu turut membolehkan Aaron-Wooi Yik menyamakan rekod pertemuan dengan Won Ho-Seung Jae kepada 3-3.
Pada final esok, pasangan negara itu dijadual berdepan sama ada gandingan China Liang Wei Keng-Wang Chang atau pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Aaron-Wooi Yik mempunyai kenangan manis di Odense apabila muncul juara edisi 2023 selepas menewaskan pasangan Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada final.
-- BERNAMA