Am 18/10/2026 12:12 AM

Polis Tidak Jumpa Bahan Letupan Di Pasar Raya Di Klang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Tidak Jumpa Bahan Letupan Di Pasar Raya Di Klang
ACP Ramsay Embol. fb Polis Daerah Klang Utara

SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- Polis tidak menemukan sebarang bahan letupan atau peranti mencurigakan di sebuah pasar raya di Jalan Kapar, Klang susulan dakwaan bahan tersebut telah diletakkan di premis itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramsay Embol berkata pihaknya menerima laporan pada 4.04 petang tadi daripada seorang pengurus stor lelaki yang mendapat e-mel berhubung dakwaan mengenai keberadaan bahan letupan itu di pasar raya berkenaan.

Beliau berkata polis kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam Klang.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan selama hampir tiga jam, pihak polis bersama dengan pasukan bantuan tidak menemukan sebarang bahan letupan mahupun peranti mencurigakan seperti yang dinyatakan dalam e-mel,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ramsay berkata kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui komunikasi tanpa nama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun jika sabit kesalahan. 

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan e-mel atau sebarang bentuk komunikasi untuk menyebarkan maklumat yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-3291 9614 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Fazlan Rezza Mazlan menerusi talian 011-1056 1017 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa sebuah pasar raya di Klang ditutup susulan penemuan bom di premis berkenaan.

-- BERNAMA