Am 17/10/2026 06:16 PM

95 Peratus Ikan Di Tasik Ampang Hilir Spesies Asing, Usaha Mitigasi Dipertingkatkan - KPKM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
95 Peratus Ikan Di Tasik Ampang Hilir Spesies Asing, Usaha Mitigasi Dipertingkatkan - KPKM
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak (tengah) melawat reruai pameran pada Program Kelestarian Perikanan Darat, Mitigasi Memburu Ikan Asing di Tasik Ampang Hilir.

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Sebanyak 95 peratus ikan yang direkodkan di Tasik Ampang Hilir, di sini merupakan spesies asing, sekali gus merupakan ancaman serius terhadap keseimbangan ekosistem perairan darat negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak berkata sehubungan dengan itu, usaha mitigasi perlu dipertingkatkan termasuk melalui pendekatan berasaskan data, pendidikan masyarakat dan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Amalan melepaskan ikan peliharaan ke tasik, empangan dan kawasan pengairan awam apabila ikan berkenaan semakin besar atau sukar dijaga boleh menjejaskan biodiversiti akuatik serta mengancam kelangsungan spesies ikan tempatan.

"Kalau kita tidak didik, perkara ini akan menjadi satu budaya yang susah dikekang dan akan menjadi masalah pada jangka masa panjang," katanya ketika berucap pada Program Kelestarian Perikanan Darat: Mitigasi Memburu Ikan Asing di Tasik Ampang Hilir, di sini hari ini.

Program memburu ikan asing yang dilaksanakan sejak 2022 hingga 2025 telah merekodkan tangkapan sebanyak 19.74 tan metrik, menunjukkan isu penularan spesies berkenaan perlu ditangani secara lebih serius.

Antara langkah yang perlu dipergiatkan ialah meningkatkan aktiviti menangkap ikan asing, melepaskan benih ikan tempatan bagi membantu mengimbangi populasi serta memperluas pendidikan kepada masyarakat supaya tidak melepaskan ikan peliharaan ke perairan awam.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian sedang meneliti usaha memperketat peraturan sedia ada, termasuk kemungkinan melarang spesies ikan tertentu yang dikenal pasti mengancam ekosistem tempatan.

Rekod Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan bahawa daripada 154 ekor ikan yang direkodkan di Tasik Ampang Hilir, sebanyak 146 ekor merupakan spesies asing, manakala lapan ekor ialah spesies tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank Ahmad Arif Abu Bakar berkata usaha memulihkan keseimbangan populasi ikan tempatan dan ikan asing perlu disokong dengan peningkatan kesedaran serta pendidikan kepada orang ramai tentang kepentingan memelihara biodiversiti negara.

"Orang ramai perlu memahami tanggungjawab mereka dalam menjaga ekosistem, termasuk tidak melepaskan ikan peliharaan ke sungai atau tasik apabila ikan berkenaan semakin besar," katanya.

Dalam program itu, Agrobank turut melepaskan 1,400 benih ikan tempatan ke tasik berkenaan, terdiri daripada 1,100 benih ikan baung dan 300 benih ikan lampam sungai, bagi membantu menyokong pemuliharaan spesies tempatan.

Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 250 peserta daripada tujuh agensi dan organisasi termasuk warga kerja Agrobank, dengan aktiviti utama termasuk menangkap ikan asing menggunakan pukat, jala, pancing dan bubu.

-- BERNAMA