Am 17/10/2026 06:24 PM

1.2 Juta Pekerja Belum Mencarum Lindung 24 Jam Digesa Dapatkan Perlindungan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
1.2 Juta Pekerja Belum Mencarum Lindung 24 Jam Digesa Dapatkan Perlindungan
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan menyampaikan ucapan pada perasmian Program i-Lindung u-Gegar @ Melaka di Dataran Keris.

ALOR GAJAH, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1.2 juta pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) digesa mengambil peluang mendapatkannya susulan insentif pelepasan cukai tambahan RM150 setahun yang diumum menerusi Belanjawan 2027.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata insentif itu adalah peluang terbaik kepada pekerja untuk kembali mencarum bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.

Beliau berkata kepentingan perlindungan itu perlu diberi perhatian kerana LINDUNG 24 Jam merekodkan sebanyak 10,424 tuntutan bagi tempoh 1 Jun hingga 30 Sept lepas, bersamaan purata 85 kes sehari.

“Angka ini mengingatkan kita bahawa kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa, dan perlindungan kewangan amat penting apabila seseorang berdepan musibah. 

"Jangan bila hujan baru mahu cari payung, tambahan pula kos perubatan yang semakin meningkat," katanya pada pemberita selepas merasmikan Program i LINDUNG u Gegar @ Melaka di Dataran Keris di sini hari ini.

Ramanan berkata kerajaan memahami kebimbangan rakyat berhubung pendapatan boleh guna susulan tekanan inflasi yang dipengaruhi faktor global namun perlindungan keselamatan sosial perlu terus menjadi keutamaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata Skim Pengembara bagi 480,000 rakyat Malaysia berulang alik ke Singapura setiap hari akan dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri ketika mengumumkannya pada Hari Pekerja lepas. 

"Esok, pihak PERKESO akan mengadakan pertemuan dengan lebih 800 pertubuhan bukan kerajaan dan juga mereka yang sedang bekerja di Singapura untuk satu sesi dialog serta memberi penerangan mengenai Skim Pengembara di Johor Baharu termasuk bersama dengan Duta Besar Malaysia di Singapura. 

"Mereka memang layak untuk caruman ini dan ia bukan mandatori... jadi, terpulang kepada mereka," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan menggesa penyedia platform dalam industri gig memanfaatkan insentif kerajaan menerusi Belanjawan 2027 dengan turut membiayai caruman pekerja masing-masing.

Beliau berkata peruntukan insentif padanan caruman LINDUNG Kendiri bagi pekerja e-panggilan dan p-panggilan berpendapatan RM3,000 ke bawah di bawah peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu 368,098 pekerja gig boleh dipertingkat daripada 35 kepada 50 peratus sekiranya penyedia platform turut berkongsi tanggungjawab membayar caruman.

"Kita juga mahu mengingatkan penyedia platform bahawa penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan caruman PERKESO telah bermula pada 1 Okt lepas termasuk kewajipan melaksanakan potongan caruman mandatori dan mengintegrasikan sistem masing-masing dengan sistem PERKESO.

"Langkah itu penting bagi memastikan perlindungan keselamatan sosial dan keadilan kepada pekerja gig," katanya. 

Sementara itu, program i LINDUNG u Gegar @ Melaka yang julung kali diadakan menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Pada program sama, sebanyak 400 suri rumah di Melaka didaftarkan sebagai pencarum LINDUNG Kasih sekali gus melayakkan mereka mendapat perlindungan PERKESO sekiranya berlaku musibah tidak terduga.

-- BERNAMA