Am 17/10/2026 06:26 PM

Kerajaan Peruntuk RM3.1 Bilion Martabat Syiar Islam Menerusi Belanjawan 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Peruntuk RM3.1 Bilion Martabat Syiar Islam Menerusi Belanjawan 2027
Dr Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan bagi hal ehwal agama kepada RM3.1 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh pembangunan Islam, termasuk memperkasakan institusi pendidikan agama serta menjaga kebajikan petugas agama di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 85.4 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan, manakala 14.6 peratus untuk pembangunan.

Beliau berkata peningkatan peruntukan berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda pemartabatan syiar Islam dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

"Kerajaan MADANI terus memberikan tumpuan khusus dengan memperuntukkan RM200 juta bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz, dan sekolah pondok yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Skop bantuan ini kini diperluas untuk merangkumi kos operasi institusi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata kerajaan turut menyediakan sumbangan khas RM750 kepada 70,000 petugas agama, termasuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada masyarakat.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 500 guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk menggunakan bahasa isyarat dan al-Quran Braille, akan menerima insentif khas RM150 sebulan.

"Kesejahteraan para pemakmur rumah Allah ini dilengkapkan lagi melalui peruntukan khas kerajaan yang menanggung sepenuhnya caruman PERKESO buat 40,000 imam, bilal, tok siak, petugas masjid, dan guru takmir, dengan Lembaga Tabung Haji bertindak selaku agensi pelaksana, demi memastikan perlindungan keselamatan sosial yang berterusan dan memberi ketenangan buat mereka dalam berkhidmat demi ummah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mereka turut mempunyai elemen yang selari dengan konsep diyat dalam perundangan Islam.

Beliau berkata konsep itu memberikan penekanan kepada hak mangsa atau waris untuk menerima pampasan akibat perbuatan yang mendatangkan kemudaratan.

Sementara itu, Zulkifli berkata kerajaan turut memperkukuh industri halal melalui pemberian geran padanan hingga RM5,000 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ingin mendapatkan pensijilan halal buat kali pertama.

Beliau berkata geran RM25,000 pula disediakan bagi memperkasakan PMKS halal dalam sektor berpotensi tinggi termasuk kosmetik dan farmaseutikal.

Dalam sektor pendidikan Islam, kerjasama JAKIM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut digerakkan bagi menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok seluruh negara.

Zulkifli berkata usaha berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan yang bukan sahaja memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur, malah turut menitikberatkan pembentukan masyarakat berilmu, berakhlak dan sejahtera.

"Kerangka Belanjawan 2027 ini digubal berasaskan falsafah cita-cita yang menggapai ke langit dan mengakar di bumi. Kita berhasrat meletakkan kedudukan ekonomi serta syiar Islam negara di mercu kejayaan yang paling tinggi dengan wawasan jauh ke hadapan," katanya.

Beliau berkata pada masa sama, seluruh keutamaan dan pelaksanaan dasar kerajaan kekal berpijak di bumi nyata demi memelihara kebajikan serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

-- BERNAMA