RANAU, 17 Okt (Bernama) -- Donal Ronaldi Lasius berjaya mempertahankan kejuaraan kategori Terbuka Lelaki pada Timpohon Run 2026 hari ini, manakala Nancy Bongkuron mencipta kejutan apabila muncul juara kategori Terbuka Wanita dengan rekod baharu menerusi penyertaan sulungnya dalam pertandingan larian itu.
Donal, 28, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Penangah, Tongod, menamatkan perlumbaan sejauh 9.8 kilometer di Taman Kinabalu dengan catatan masa 50 minit lapan saat untuk meraih gelaran juara buat kali kedua berturut-turut.
Pelari dari Tambunan itu mengatasi peserta Rusia, Vegman Alexey yang menduduki tempat kedua dengan masa 53 minit 48 saat, manakala Jospah Sualin dari Malaysia di tempat ketiga dengan catatan 58 minit 23 saat.
Beliau berkata cabaran utama Timpohon Run bermula selepas kilometer keenam apabila peserta perlu mengharungi laluan denai lebih tiga kilometer.
Donal berkata keunikan perlumbaan itu juga terletak pada lokasi permulaan yang berada pada ketinggian kira-kira 1,500 meter dari aras laut, sekali gus menuntut ketahanan fizikal peserta sejak awal perlumbaan.
“Larian ini agak unik sebab terus bermula di elevation yang tinggilah … jadi, di bawah pun sudah ada cabarannya, apatah lagi ketika mahu mendaki, jadi itulah cabaran utama,” katanya.
Sementara itu, Nancy, 37, dari Kiulu mencipta rekod baharu kategori Terbuka Wanita selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan satu jam lapan minit, mengatasi Dazeree Joan Joannes yang menduduki tempat kedua dengan masa satu jam 13 minit dan Maritana Simpat di tempat ketiga dengan satu jam 14 minit 10 saat.
Nancy berkata beliau tidak pernah menyangka mampu muncul juara, apatah lagi mencipta rekod baharu kerana menyertai pertandingan itu sekadar mahu mencuba laluan baharu selepas diajak rakan-rakan.
“Saya tidak terfikir pun untuk menang, saya hanya sertai larian ini untuk santai bersama dengan kawan-kawan sahaja,” katanya.
Nancy berkata pengalaman membesar di perkampungan tanah tinggi dan melalui laluan berbukit untuk ke sekolah sejak kecil membantunya mengharungi laluan menurun, namun mengakui langsung tidak menjangkakan kemenangan kerana pertandingan itu turut disertai pelari berpengalaman.
Timpohon Run 2026 disertai oleh 331 pelari dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Rusia melibatkan perlumbaan sejauh 9.8 kilometer, dengan lima peserta terbaik bagi setiap kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500, RM400, RM300, RM200 dan RM150 mengikut kedudukan.
Acara anjuran Lembaga Pelancongan Sabah dengan kerjasama Taman-Taman Sabah itu merupakan pembuka tirai kepada Mount Kinabalu International Climbathon ke-33 yang dijadualkan berlangsung esok.
Climbathon itu dijangka menarik penyertaan kira-kira 250 pelari gunung elit tempatan dan antarabangsa yang bakal mengharungi laluan mencabar sejauh 24.5 kilometer mendaki dan menuruni Gunung Kinabalu hingga ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut.
-- BERNAMA