Am 13/10/2026 05:59 PM

Pemandu Maut Lori Hilang Kawalan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemandu Maut Lori Hilang Kawalan
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor

KUALA TERENGGANU, 13 Okt (Bernama) -- Seorang pemandu lori maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 428.9 Jalan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, A. Divakgar, 26, dari Taman Klang Indah, Selangor meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila lori jenis Isuzu dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lagi lori jenis Mercedes Benz yang membawa barang-barang pembinaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu mangsa yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Gong Badak di Kuala Nerus telah melanggar sebuah lagi lori yang dalam perjalanan dari Ajil, Hulu Terengganu ke Tepoh (di Kuala Nerus) dari arah belakang.

"Mangsa yang maut di lokasi kejadian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk tindakan lanjut, manakala pemandu sebuah lagi lori berusia 63 tahun dan berasal dari Kuala Berang (di Hulu Terengganu) mengalami kecederaan di bahagian muka serta telah dirawat di hospital sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azli berkata kedua-dua kenderaan tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Terengganu dan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA