SOFIA, 13 Okt (Bernama-Xinhua) -- Dua kapal dagang diserang dron di Laut Hitam berhampiran pantai Bulgaria, dengan sekurang-kurangnya sebuah daripadanya karam, menurut Perkhidmatan Penerangan Kerajaan negara itu pada Selasa.
Perdana Menteri Bulgaria Rumen Radev berkata sebuah kapal diserang kira-kira 1.30 pagi waktu tempatan (2230 GMT Isnin), sekitar 18 batu nautika ke timur bandar Byala, lapor Xinhua.
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat tergempar bersama majlis keselamatan negara itu.
Menurut Radev, pihak berkuasa Bulgaria berjaya menyelamatkan kesemua 15 anak kapal berkenaan, yang terdiri daripada tujuh warga Ukraine dan lapan warga Azerbaijan.
Kapal dikenali sebagai Chelsea 3 itu berdaftar di Odesa, Ukraine dan dimiliki pihak Ukraine serta berlayar di bawah bendera Malta.
Anak kapal mendakwa bahawa kapal berkenaan terkena serangan tiga dron udara.
Radev berkata semua anak kapal dibawa ke Pelabuhan Varna, dengan lima daripada mereka menerima rawatan perubatan.
Sementara itu, Perkhidmatan Penerangan Kerajaan Bulgaria memaklumkan bahawa pihak berkuasa turut menerima laporan mengenai sebuah lagi kapal dagang yang diserang kira-kira 17 batu nautika ke timur Krapets.
Kapal itu karam, manakala seorang anak kapalnya berjaya diselamatkan.
Kejadian itu merupakan serangan dron kedua terhadap kapal dagang berhampiran Bulgaria dalam tempoh seminggu.
Pada 6 Okt, dron yang tidak dikenal pasti menyerang dua kapal dagang dalam zon ekonomi eksklusif Bulgaria, menyebabkan sebuah kapal karam manakala sebuah lagi terbakar.
"Satu lagi serangan terhadap kapal dagang di kawasan berhampiran perairan wilayah Bulgaria sama sekali tidak boleh diterima," kata Radev.
Beliau berkata wakil tetap Bulgaria ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Radev turut memaklumkan bahawa beliau dijadual mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte.
-- BERNAMA-XINHUA