Am 15/10/2026 12:13 AM

Awan AI Berdaulat, Internet Lebih Luas Pacu Kedaulatan Digital Negara - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Awan AI Berdaulat, Internet Lebih Luas Pacu Kedaulatan Digital Negara - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (kanan) ditemu bual oleh pengacara Wan Syahrina Wan Ab Rahman (kiri) dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Belanjawan 2027: Memperkasa Komunikasi, Memacu Ekonomi Jingga" di Wisma Bernama hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pembangunan Awan AI Berdaulat menjadi antara langkah penting kerajaan dalam memastikan maklumat terperingkat negara kekal selamat dan tidak terjejas oleh dasar serta perundangan negara asing, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur itu penting bagi menjamin kedaulatan digital negara, khususnya dalam melindungi maklumat terperingkat (dokumen rasmi berklasifikasi) yang berisiko terdedah sekiranya disimpan menggunakan perkhidmatan awan awam.

“Ada satu perkara yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sebut tapi kita sedang dalam proses untuk laksanakan... ini sangat penting untuk kedaulatan digital kita, iaitu awan berdaulat. 

“Kita melihat sesetengah negara mungkin mempunyai dasar dan perundangan yang boleh menyebabkan penggunaan awan yang bersifat awam tidak begitu selamat terutama bagi maklumat terperingkat... jadi, kerajaan telah memutuskan untuk membangunkan sovereign AI cloud atau awan AI berdaulat,” katanya. 

Fahmi berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Belanjawan 2027: Memperkasa Komunikasi, Memacu Ekonomi Jingga” di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu akan dikelolakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kementerian Komunikasi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata penyediaan akses Internet yang lebih meluas, pantas, murah dan selamat penting bagi merancakkan ekonomi digital negara yang dianggarkan menyumbang lebih 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Beliau berkata pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 membantu merapatkan jurang akses Internet antara bandar dan luar bandar namun cabaran ketersambungan masih wujud terutama apabila pengguna bergerak keluar dari kawasan kampung.

“Masalah yang timbul ialah apabila seseorang keluar dari kawasan kampung, tiba-tiba tiada talian... jadi, kita perlu memastikan ketersambungan itu berterusan,” katanya.

Fahmi berkata kemudahan Internet lebih baik akan memberi manfaat kepada usahawan yang menjual produk dalam talian, pelajar yang mengikuti pembelajaran digital serta rakyat yang ingin mendapatkan maklumat dan memohon perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.

Beliau berkata teknologi 5G juga berpotensi meningkatkan kecekapan sektor pertanian menerusi penggunaan Internet Benda (IoT) dan robotik.

Kerajaan memperuntukkan RM5 bilion bagi pelaksanaan JENDELA menerusi Belanjawan 2027 dalam usaha memperluas liputan Internet berkualiti tinggi khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

-- BERNAMA