Am 14/10/2026 10:44 PM

Piala SSJF 3.0 Medan Cungkil Bakat Muda Silat Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Piala SSJF 3.0 Medan Cungkil Bakat Muda Silat Negara
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin (tiga, kiri) merangkap Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur (PESAKA KL) bersama piala SSJF 3.0 selepas merasmikan Kejuaraan Silat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Piala Sport School Junior Fighter (SSJF) 3.0 di Stadium Titiwangsa. Seramai 1,288 pesilat dari dalam dan luar negara bakal berentap pada kejohanan tersebut yang berlangsung dari 14 hingga 19 Okt ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,288 peserta berusia antara lima hingga 16 tahun membabitkan lebih 50 pasukan dari dalam dan luar negara menyertai Kejuaraan Silat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Piala SSJF 3.0 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, bermula hari ini hingga 19 Okt.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Kuala Lumpur Datuk Azman Abidin berkata kejohanan edisi ketiga itu turut menarik penyertaan skuad remaja Kazakhstan serta wakil dari empat wilayah utama Indonesia.

Beliau berkata penganjuran kejohanan secara tahunan itu penting sebagai platform mengenal pasti bakat muda yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memperkukuh pembangunan silat negara.

“Kalau kami tidak mengadakan kejohanan atau pertandingan, kami tidak dapat mencungkil bakat mereka. Melalui pertandingan seperti ini, barulah kami dapat melihat potensi pesilat muda, khususnya di Kuala Lumpur.

“Kami mahu Kuala Lumpur terus menjadi pusat kecemerlangan pembangunan atlet silat negara kerana kita mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik,” katanya selepas merasmikan kejohanan itu malam ini.

Pada masa sama, Azman berharap kejohanan berkenaan terus berkembang menjadi pertandingan antarabangsa berprestij dengan penyertaan lebih banyak negara pada masa hadapan.

Kejohanan anjuran Kelab Silat Olahraga Wira Titiwangsa menerusi inisiatif Sport School Junior Fighter (SSJF) itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Kementerian Pendidikan, dengan matlamat membangunkan generasi muda melalui sukan silat dan pendidikan.

-- BERNAMA