KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkukuh komitmen menjaga kebajikan dan masa depan anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi inisiatif MyBakat Veteran yang menyasarkan lebih 15,000 penerima manfaat menjelang 2030.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha itu mencerminkan pendekatan baharu MINDEF dalam memastikan anggota ATM bukan sahaja diberikan perhatian sepanjang perkhidmatan, malah mempunyai persediaan lebih terancang untuk membina kerjaya kedua selepas bersara.
Beliau berkata kementerian itu kini memberi penekanan kepada pemadanan kemahiran dan pengalaman ketenteraan dengan keperluan sebenar industri bagi memperluas peluang pekerjaan kepada anggota serta veteran ATM.
“Kami beranjak daripada pendekatan ‘melatih dahulu, kemudian mencari pekerjaan’ kepada pendekatan memadankan secara langsung kompetensi anggota dengan keperluan industri, latihan bersesuaian dan peluang kerjaya sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena pemeteraian Nota Kerjasama antara MINDEF dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi pelaksanaan MyBakat Veteran di sini hari ini.
Nota Kerjasama berkenaan ditandatangani antara Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof serta disaksikan Mohamed Khaled dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MINDEF, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagi menyokong penempatan pelatih PERHEBAT dan veteran ATM di syarikat industri bawah MEF sepanjang tempoh peralihan enam bulan sebelum diserap ke pekerjaan tetap.
Mohamed Khaled berkata inisiatif itu memberi tumpuan kepada persediaan kerjaya sekurang-kurangnya dua tahun sebelum persaraan, mengambil kira antara 5,000 hingga 7,000 anggota ATM menamatkan perkhidmatan setiap tahun.
“Melalui kerjasama strategik itu, pengalaman dan kepakaran ketenteraan turut berpeluang diterjemahkan kepada kelayakan profesional menerusi pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), tertakluk kepada penilaian kompetensi dan syarat kelayakan.
“Pelaksanaannya turut mengoptimumkan peranan PERHEBAT dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), dengan sokongan TalentCorp serta agensi berkaitan dalam menyediakan latihan peralihan kerjaya dan akses kepada peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu memperlihatkan usaha MINDEF memperluas ekosistem sokongan kepada warga ATM melalui pendekatan yang lebih tersusun, bersepadu dan berorientasikan keperluan pasaran pekerjaan.
-- BERNAMA