Dunia 13/10/2026 07:04 PM

Palang Merah Beri Amaran Ketegangan Di Asia Barat Yang Memuncak Boleh Bawa Kesan Malapetaka

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Palang Merah Beri Amaran Ketegangan Di Asia Barat Yang Memuncak Boleh Bawa Kesan Malapetaka
-- Saudi Media Ministry via AP

GENEVA, 13 Okt (Bernama-Anadolu) -- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) memberi amaran pada Selasa bahawa ketegangan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat boleh membawa kesan "malapetaka" kepada puluhan juta penduduk, sambil menggesa usaha segera dilakukan bagi melindungi orang awam, lapor Anadolu Ajansi.

"Orang awam menanggung beban yang tidak sepatutnya akibat operasi ketenteraan di Timur Tengah," kata Presiden ICRC Mirjana Spoljaric dalam satu kenyataan.

Beliau menyoroti insiden kematian, kecederaan, dan kemusnahan terbaharu di Arab Saudi, serta memberi amaran mengenai kesan buruk persengketaan terhadap orang awam.

Angka kematian, penduduk kehilangan tempat tinggal, dan kerosakan pada kemudahan awam di Yaman, termasuk di Aden dan Sanaa, meningkat pada "kadar yang membimbangkan," kata Spoljaric.

"Orang awam dan kemudahan awam mesti dilindungi daripada serangan," tegas beliau, sambil mengingatkan pihak yang berkonflik tentang kewajipan mereka untuk membezakan antara sasaran awam dan ketenteraan.

Spoljaric turut memberi amaran bahawa serangan ke atas pelabuhan, lapangan terbang, dan kemudahan asas boleh membawa kesan buruk kepada komuniti yang bergantung pada prasarana berkenaan.

"Peningkatan ketegangan pertempuran seterusnya akan membawakan bencana kepada puluhan juta penduduk," katanya sambil menggesa ketegangan dikurangkan dengan segera bagi mengelakkan penderitaan berterusan orang awam.

Arab Saudi berdepan siri serangan sejak beberapa hari ke belakangan ini yang menyasar lapangan terbang dan kemudahan awam berikutan peningkatan konfrontasi ketenteraan dengan Kumpulan Houthi di Yaman.

Yaman berdepan peperangan sejak Kumpulan Houthi menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah lain pada September 2014, sebelum pakatan pimpinan Arab Saudi campur tangan pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan negara itu yang diiktiraf antarabangsa.

Peningkatan ketegangan bermula pada Julai tahun ini selepas tempoh tenang secara relatif selepas gencatan senjata yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkuat kuasa pada April 2022.

-- BERNAMA-ANADOLU