KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Keperluan mewujudkan persaingan e-dagang yang lebih adil untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), penyelesaian isu pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pembendungan ketirisan perbelanjaan awam antara perkara yang mendapat perhatian pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Selain isu ekonomi dan kebajikan, Ahli Parlimen turut membangkitkan keperluan mempercepat reformasi institusi, memastikan bantuan kepada pesawah disalurkan mengikut keperluan serta memperkukuh sokongan kepada golongan miskin dan industri perladangan.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) meminta kerajaan mengambil tindakan proaktif untuk mewujudkan medan persaingan lebih adil bagi PMKS tempatan yang berdepan persaingan tidak seimbang daripada kilang luar negara serta kenaikan mendadak caj platform e-dagang tempatan.
Beliau berkata peniaga atau platform e-dagang besar dari luar negara bebas menjual barangan secara terus kepada pengguna di Malaysia tanpa menanggung kewajipan yang sama seperti perniagaan tempatan, termasuk berkaitan cukai dan pematuhan peraturan buruh serta caruman sosial, sekali gus mendedahkan PMKS yang menyediakan lebih 8.1 juta peluang pekerjaan kepada risiko gulung tikar.
“Usahawan PMKS di Malaysia tidaklah meminta tongkat daripada kerajaan atau tidak minta sistem persaingan ini ditutup terus, tetapi mereka hanya mahukan keadilan supaya persaingan itu adalah persaingan yang adil,” katanya.
Sebagai langkah penyelesaian, Syed Saddiq mencadangkan syarat pendaftaran tempatan bagi kilang atau penjual luar negara serta mempercepat pengenalan RUU e-Dagang yang merangkumi mekanisme perundingan dan pemberitahuan awal sekurang-kurangnya 30 hingga 90 hari sebelum sebarang kenaikan caj platform dikuatkuasakan.
Sementara itu, Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkata kerajaan perlu menyegerakan penyelesaian isu pelarasan pencen veteran ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013, dengan mengambil kira jumlah kumpulan veteran itu semakin berkurangan.
“Sebahagian daripada mereka mungkin tidak lama lagi tidak berpeluang mendapat hasil perjuangan ini kerana meninggal dunia. Ini amat menyedihkan dan mereka telah lama menunggu hak dan kebajikan mereka diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan,” katanya sambil menambah veteran terbabit telah menunggu hampir 13 tahun untuk mendapatkan pelarasan pencen berkenaan.
Dalam aspek reformasi institusi, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula mendesak kerajaan membentangkan semula RUU Pindaan Perlembagaan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun pada sidang Parlimen kali ini.
Beliau berkata langkah itu penting sebagai sebahagian daripada reformasi institusi yang mencerminkan kesediaan pemimpin membendung pemusatan kuasa serta membanteras amalan penyelewengan dana negara.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) pula menggesa kerajaan memastikan perbelanjaan awam diurus secara berhemat, ketirisan dibendung dan setiap peruntukan yang diluluskan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
Senada dengan itu, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) menggesa kerajaan memperkukuh kutipan hasil negara dan membanteras ketirisan, selain memastikan projek pembangunan yang diluluskan dilaksanakan mengikut jadual.
Dalam sektor pertanian, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) meminta kerajaan mempercepat pengagihan Baja Padi 3 yang tertangguh bagi mengelakkan risiko kerugian hasil tanaman dan menjejaskan pendapatan lebih 38,000 pesawah.
Lim Lip Eng (PH-Kepong) pula mahu kerajaan memperluas bantuan pendidikan dan peluang ekonomi berasaskan keperluan bagi membantu keluarga miskin daripada masyarakat minoriti tanpa mengira kaum, memandangkan kadar kemiskinan 2024 ialah 9.5 peratus dalam kalangan masyarakat Cina dan 9.9 peratus masyarakat India, sekali gus menunjukkan kemiskinan bukan masalah satu kaum sahaja.
Dalam pada itu, Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) menggesa kerajaan menyalurkan sokongan lebih mencukupi kepada industri perladangan, khususnya bagi mempercepat penanaman semula sawit, menangani kekurangan pekerja dan meningkatkan produktiviti pekebun kecil.
-- BERNAMA