Am 13/10/2026 09:13 PM

KPDN Terengganu Rampas 2,380 Unit "Squishy" Bernilai RM30,391

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPDN Terengganu Rampas 2,380 Unit
Kredit KPDN Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 2,380 unit mainan picit lembut atau squishy bernilai RM30,391 menerusi operasi di seluruh negeri itu dari 3 Okt hingga semalam.

Pengarah KPDN Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata rampasan itu, hasil 101 pemeriksaan di pelbagai premis termasuk pusat beli-belah, kedai runcit dan kedai serbaneka, berikutan barangan yang dijual tidak mematuhi standard keselamatan ditetapkan Malaysian Conformity (M.C.).

“Sebanyak enam premis di Kuala Terengganu diambil tindakan dan kes dibuka untuk siasatan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999, serta peraturan-peraturan berkaitan standard keselamatan mainan. 

“Mengikut peraturan berkuat kuasa, mainan hendaklah mematuhi standard ditetapkan, khususnya produk yang direka atau digunakan sebagai permainan oleh kanak-kanak berusia bawah 14 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Mufsi turut mengingatkan orang ramai termasuk pengilang tempatan, pengimport, pembekal, pengedar dan peruncit supaya memastikan mainan kanak-kanak yang dibekal atau dijual, mematuhi standard keselamatan serta mempunyai perakuan diwajibkan.

“Sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan kepada Bahagian Standard Kepenggunaan Ibu Pejabat KPDN menerusi talian 03-88825886 atau e-mel ke mysafe@kpdn.gov.my,” katanya.

-- BERNAMA