Ekonomi 14/10/2026 12:33 AM

Enam Negeri Terima Perbelanjaan Pembangunan RM21.26 Bilion -- Akmal Nasrullah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Enam Negeri Terima Perbelanjaan Pembangunan RM21.26 Bilion -- Akmal Nasrullah
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika temu bual dalam Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Belanjawan 2027 : Pertumbuhan Ekonomi Berkualiti, Rakyat Sejahtera dihoskan oleh Dinie Asyraf di Wisma Bernama malam ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira keperluan berbeza setiap negeri terbabit.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata enam negeri berkenaan adalah Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak dan agihan itu mengambil kira komitmen pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan projek yang diumumkan sebelum ini.

“Ada negeri yang mungkin dari segi pembangunan infrastruktur untuk tempoh kita umumkan itu memerlukan komitmen besar.

“Pada masa sama, ini juga melibatkan projek yang walaupun tidak diumumkan pada tahun ini, tetapi pelaksanaannya bermula pada tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Belanjawan 2027: Pertumbuhan Ekonomi Berkualiti, Rakyat Sejahtera” yang disiarkan pada malam ini.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata perbelanjaan pembangunan bukan setakat bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, malah bagi merapatkan jurang antara negeri, termasuk yang ketinggalan dari segi pembangunan.

Beliau berkata selaras dengan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, komitmen dan peruntukan kepada enam negeri yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan diteruskan tanpa mengira perbezaan politik.

Menyentuh keutamaan perbelanjaan pembangunan itu, beliau berkata daripada jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM83 bilion dalam Belanjawan 2027, aspek yang menjadi tumpuan merangkumi pembangunan infrastruktur, pewujudan potensi ekonomi dan peningkatan mobiliti sosial.

“Pembangunan sekolah, kemudahan kesihatan serta usaha menangani kesan perubahan iklim turut menjadi keutamaan bagi memastikan perbelanjaan menghasilkan impak tinggi,” katanya.

Ini termasuk komitmen membangunkan empangan di Kelantan bagi menangani isu banjir serta langkah ke arah pembinaan loji rawatan air di Machang, kata beliau.

Terdahulu ketika bercakap dalam program Ruang Bicara, Akmal Nasrullah berkata Kementerian Ekonomi menilai perbelanjaan pembangunan berdasarkan keberhasilan yang hendak dicapai bagi memastikan pelaksanaan projek dapat diterjemahkan kepada objektif yang dirancang.

“Sebagai contoh, adakalanya dalam melaksanakan program ataupun projek, hatta jika projek itu siap sekalipun, ini boleh menjadi gajah putih kerana perancangan melihat kepada mungkin ada keterdesakan tertentu. Projek itu wujud, namun tak ke mana dari segi hasil mencapai objektif yang direncanakan,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu kini menilai pelaksanaan kajian terlebih dahulu sebelum permohonan projek dibolehkan bagi mengelak masalah seperti ketidaksesuaian tapak dikenal pasti hanya selepas projek diumumkan.

-- BERNAMA