BANGI, 13 Okt (Bernama) -- Kelantangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyuarakan pendirian Malaysia bagi memperjuangkan pembebasan Palestin, mencerminkan komitmen teguh negara terhadap usaha menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Anwar antara pemimpin dunia yang paling lantang dan tidak berkompromi dalam menyatakan pendirian, berhubung keperluan membebaskan Palestin.
“Kehadiran Perdana Menteri pada malam ini, memberi signal yang sangat jelas bahawa ia bukan sekadar retorik politik, bukan sekadar apa yang dibincangkan di meja diplomatik, malah digerakkan melalui sokongan, naungan, gerakan massa seperti Global Sumud Flotilla (GSF).
“Kita (kerajaan) juga mengharapkan (sekiranya ada) apa-apa perancangan di pihak Sumud Nusantara dan GSF, kami sedia untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sumud Nusantara bersempena dengan Kongres Sumud Sedunia 2026, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Sani Araby, atas usaha mengemudi dan menganjurkan pelbagai usaha yang disifatkannya sebagai signifikan.
Sebagai tanda penghargaan, beliau berkata Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Gerakan Sumud Global bagi menerbitkan siri mini televisyen berkaitan Sumud Protocol untuk ditayangkan kepada masyarakat umum.
Fahmi berkata bahawa beliau bersama-sama beberapa menteri lain akan terus menyokong usaha Sumud Nusantara dan GSF, termasuk membantu dari segi media sosial.
“Kami sedia untuk membantu. Termasuk kalau kita teliti dari segi media sosial, jadi ini antara beberapa perkara yang Kementerian Komunikasi sendiri akan bantu,” katanya.
-- BERNAMA