ISTANBUL, 13 Okt (Bernama-Anadolu) -- Syarikat pembayaran gergasi Amerika Syarikat (AS), Visa mendapat kelulusan daripada Bank Rakyat China untuk memulakan persiapan rasmi bagi menubuhkan institusi pemprosesan transaksi kad bank domestik di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Syarikat itu pada Selasa mengumumkan bahawa kelulusan berkenaan merupakan pencapaian penting ke arah menyediakan perkhidmatan dalam pasaran pembayaran domestik China.
Ketua Pegawai Eksekutif Visa Ryan McInerney berkata perkembangan itu merupakan langkah penting dalam komitmen jangka panjang syarikat berkenaan terhadap China.
McInerney berkata Visa telah memainkan peranan aktif dalam landskap pembayaran China yang dinamik selama lebih 40 tahun.
Visa merancang untuk melengkapkan baki proses yang ditetapkan di bawah peraturan bank pusat itu sebelum memulakan operasi domestiknya.
-- BERNAMA-ANADOLU