RAMALLAH / ISTANBUL, 13 Okt (Bernama-Anadolu) -- Tentera Israel menahan 30 penduduk Palestin dalam serbuan tentera di seluruh Tebing Barat yang diduduki pada Selasa, manakala peneroka haram menyerang sekeluarga warga Palestin berhampiran Nablus hingga menyebabkan beberapa orang cedera, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pejabat Media Banduan memaklumkan bahawa pasukan Israel melancarkan serbuan secara meluas merangkumi pemeriksaan rumah ke rumah dan menjadikan sebuah kediaman sebagai pusat penyiasatan.
Penahanan itu tertumpu di Wilayah Nablus di utara, dengan 15 warga Palestin ditahan di Kampung Tell, 12 di Asira al-Shamaliya dan seorang lagi di Talfit, menurut pejabat itu.
Pasukan Israel turut menyerbu beberapa rumah di Asira al-Shamaliya dan menukar satu daripadanya menjadi pusat penyiasatan.
Seorang lagi warga Palestin ditahan di Tubas di timur laut Tebing Barat dan seorang di Hebron di bahagian selatan selepas pasukan Israel menyerbu serta menggeledah rumah mereka, menurut sumber yang sama.
Sementara itu, beberapa penduduk Palestin cedera awal pagi Selasa apabila penduduk haram Israel yang memakai pakaian seragam tentera menyerang sekeluarga di Talfit, selatan Nablus, menurut sumber tempatan.
Sumber berkenaan memberitahu Anadolu bahawa penduduk haram itu yang menyamar sebagai tentera Israel, mengetuk pintu rumah Yusuf Munawwar Abu Aisha sebelum memukulnya dan ahli keluarganya.
Beberapa ahli keluarga mengalami kecederaan serta lebam dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Serbuan tentera Israel dan serangan oleh penduduk haram terhadap warga Palestin serta harta benda mereka semakin meningkat di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, sejak bermulanya perang Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023.
Penduduk Palestin menegaskan bahawa perluasan petempatan haram dan serangan yang berlaku mengancam peluang pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka selaras dengan resolusi antarabangsa berkaitan.
-- BERNAMA-ANADOLU