ALOR SETAR, 13 Okt (Bernama) -- Semua sekolah di Kedah beroperasi seperti biasa esok susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di negeri itu, merekodkan paras bawah 100.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan bacaan IPU itu dicatatkan setakat 2 petang hari ini.
“Sebarang keputusan berkaitan penutupan dan pengoperasian semula sekolah akibat jerebu, tertakluk kepada ketetapan serta arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), berdasarkan pemantauan bacaan IPU harian oleh JPN, selain perkembangan keadaan setempat.
“JPN Kedah akan terus memantau perkembangan semasa termasuk menyelaras tindakan bersama-sama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah demi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA