Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Insentif tambahan bagi karya yang mengetengahkan budaya dan identiti kebangsaan dalam Belanjawan 2027 mampu menggalakkan lebih ramai penerbit menghasilkan filem kenegaraan yang lazimnya memerlukan perbelanjaan besar, kata pengarah filem Zulkarnain Azhar.
Pengarah filem Takluk: Lahad Datu dan Air Force: Selagi Bernyawa itu berkata selain kos penggambaran, filem seperti itu turut memerlukan penyelidikan terperinci, praproduksi, pascaproduksi dan promosi bagi memastikan karya yang dihasilkan berkualiti serta mendapat sambutan penonton.
“Filem-filem kenegaraan ini agak mencabar untuk penggiat ataupun penerbit kerana melibatkan belanja yang besar dan penyelidikan yang mendalam,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM130 juta di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkasa industri kreatif, termasuk insentif tambahan bagi karya yang menampilkan budaya dan identiti kebangsaan.
Zulkarnain berkata filem bukan sekadar medium hiburan, malah berperanan sebagai wadah ilmu dan dokumentasi sejarah yang membolehkan penonton memahami peristiwa serta kehidupan masyarakat pada masa lampau.
Beliau turut berharap sebahagian daripada sokongan kerajaan terhadap industri kreatif dimanfaatkan untuk meningkatkan apresiasi penonton terhadap filem tempatan, sekali gus mewujudkan ekosistem perfileman yang lebih mampan.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki berkata pengumuman pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027 disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan panjang penggiat seni yang sekian lama memperjuangkan pemansuhan cukai berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, beliau berkata langkah itu bukan sekadar meringankan beban penggiat industri tempatan, malah berpotensi meningkatkan pulangan hasil tayangan serta membantu penerbit mendapatkan semula modal yang dilaburkan.
“Bagi saya, ini bukan sekadar pengumuman belanjawan. Ini adalah satu pengiktirafan terhadap perjuangan panjang penggiat seni tempatan. Hari ini, saya rasa suara anak seni akhirnya didengari.
“Saya telah sekian lama memperjuangkan pemansuhan duti hiburan terhadap karya seni, filem, persembahan dan produk kreatif tempatan, khususnya yang membawa identiti, budaya serta warisan Malaysia,” katanya.
Afdlin berharap mekanisme pelaksanaan pengecualian itu dapat diperincikan secara jelas, adil dan telus bersama-sama pihak pempamer pawagam bagi memastikan manfaatnya sampai kepada penerbit, pengarah, pemilik karya serta penonton.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Festival Seni Kreatif TVET Malaysia (ANIFEST) Amir Hamzah Hashim berkata insentif khas bagi memperkasa industri animasi tempatan menerusi Belanjawan 2027 mampu meningkatkan daya saing studio animasi, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta memperluas pasaran karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata usaha kerajaan menggalakkan penghasilan lebih banyak harta intelek (IP) animasi baharu juga penting bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan.
“Jika inisiatif ini berterusan, studio animasi mampu berdaya saing dengan lebih sihat dengan menambah peluang dalam pekerjaan sektor animasi. Lebih banyak IP baharu dicipta, lebih banyak animator dan artis animasi boleh memainkan peranan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Amir Hamzah berkata penghasilan IP animasi tempatan turut berpotensi membawa karya Malaysia ke pasaran antarabangsa menerusi keunikan visual, identiti budaya dan penceritaan yang mampu menarik penonton pelbagai peringkat usia.
“Animasi juga mempunyai nilai komersial jangka panjang menerusi penghasilan produk sampingan, barangan dagangan dan pelesenan IP. Kami berharap inisiatif kerajaan dapat membuka lebih banyak ruang penyiaran bagi karya animasi tempatan di saluran televisyen,” katanya.
Amir Hamzah turut mencadangkan supaya kejayaan karya animasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa dijadikan bahan kajian serta dikongsikan menerusi seminar dan bengkel perfileman bagi membantu studio lain mempelajari pendekatan yang digunakan.
-- BERNAMA