LABUAN, 13 Okt (Bernama) -- Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Labuan hari ini menyelesaikan dua tuntutan pengguna melibatkan pembelian simen dan perabot, dengan nilai keseluruhan RM3,680.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan Junaidah Arbain berkata kedua-dua kes itu dibicarakan di hadapan Presiden TTPM Salmi Zalinah Abdul Rahim, yang memerintahkan setiap responden membayar pampasan kepada pihak menuntut.
Bagi kes berkaitan pembelian simen, tribunal mengeluarkan award mengarahkan responden membayar pampasan RM180 kepada pihak yang menuntut dalam tempoh tujuh hari.
Bagi kes pembelian perabot pula, tribunal mengarahkan responden memulangkan wang RM3,500 kepada pihak yang menuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diterima.
Junaidah berkata semua pihak terlibat dikehendaki mematuhi award tribunal dalam tempoh ditetapkan dan sekiranya gagal, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).
“Semua pihak diingatkan supaya mematuhi keputusan tribunal dalam tempoh ditetapkan kerana kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang,” katanya kepada Bernama hari ini.
Junaidah berkata TTPM menyediakan alternatif kepada prosiding mahkamah sivil yang mudah diakses, kos rendah serta cekap bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan pembelian barangan dan perkhidmatan selain membolehkan pengguna menuntut pampasan atau bayaran balik dengan sewajarnya.
“Tribunal ini menjadi saluran penting bagi pengguna menuntut hak mereka dan mendapatkan penyelesaian bagi pertikaian berkaitan barangan dibeli atau perkhidmatan yang diperoleh,” katanya.
Junaidah turut menggalakkan pengguna yang berdepan pertikaian dengan peniaga atau penyedia perkhidmatan supaya menggunakan tribunal itu serta saluran rasmi lain disediakan KPDN untuk mendapatkan bantuan dan melindungi kepentingan mereka.
Beliau berkata KPDN Labuan kekal komited untuk memperkukuh perlindungan terhadap pengguna dan memastikan mereka mempunyai akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan.
-- BERNAMA