Am 13/10/2026 05:49 PM

Wanita Sumbang RM48.92 Juta Zakat Di Pulau Pinang Tahun Lepas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Wanita Sumbang RM48.92 Juta Zakat Di Pulau Pinang Tahun Lepas
Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid

GEORGE TOWN, 13 Okt (Bernama) -- Wanita di Pulau Pinang merekodkan pembayaran zakat berjumlah RM48.92 juta menerusi lima kategori sepanjang tahun lepas, sekali gus memperlihatkan peranan golongan itu dalam menyumbang kepada kutipan zakat negeri.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata daripada jumlah itu, RM39.25 juta merupakan zakat pendapatan yang dibayar oleh 21,002 wanita atau 51.86 peratus daripada keseluruhan pembayar bagi kategori berkenaan.

Beliau berkata empat kategori lain ialah zakat wang simpanan, emas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan saham, dengan jumlah keseluruhan itu tidak termasuk zakat perniagaan.

“Sebanyak 2,721 wanita atau 54.93 peratus daripada keseluruhan pembayar bagi kategori zakat wang simpanan mencatat bayaran berjumlah RM6.86 juta, manakala wanita mewakili 71.95 peratus pembayar zakat emas dengan bayaran RM1.51 juta.

“Bagi zakat KWSP dan saham pula, bayaran oleh wanita masing-masing berjumlah RM1.05 juta dan RM250,000. Angka ini memberikan gambaran jelas bahawa wanita yang bekerja dan berkerjaya memainkan peranan besar dalam memperkukuh sumber zakat negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Himpunan Wanita Profesional 2026 (HWPro) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata Zakat MAINPP mengagihkan RM200.11 juta kepada 45,831 penerima individu dan institusi sepanjang tahun lepas, meningkat kira-kira 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi tahun ini, beliau berkata prestasi terkumpul agihan zakat setakat 30 Sept, berjumlah RM143.14 juta dengan RM80.63 juta disalurkan kepada asnaf fisabilillah, RM29.54 juta kepada asnaf miskin dan RM17.45 juta kepada asnaf fakir.

“MAINPP turut memperuntukkan RM22.36 juta bagi Dermasiswa Pengajian Tinggi tahun ini, manakala RM2 juta disediakan menerusi Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik (MPDCA), melibatkan 7,403 murid dan pelajar dari 109 sekolah di seluruh negeri,” katanya.

“Selain itu RM180,000 diperuntukkan bagi membiayai 10 pelajar asnaf mengikuti latihan selama 18 bulan di Penang Skills Development Centre (PSDC) dalam bidang automasi industri dan mekatronik,” katanya.

HWPro 2026 anjuran Zakat MAINPP menghimpunkan wanita daripada pelbagai bidang kepakaran, perkhidmatan dan kepimpinan sebagai wadah perkongsian ilmu, pembinaan jaringan kerjasama serta menyatukan komitmen untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan wakalah agihan zakat berupa sebuah van bernilai RM164,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada Zakat MAINPP, yang disampaikan Pengarah PTPTN Negeri Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman kepada Mohamad.

-- BERNAMA