Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini, menjejaki niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah harga penanda aras minyak mentah yang lebih rendah.
Seorang peniaga berkata niaga hadapan getah meningkat sedikit didorong oleh harga yang lebih kukuh di Thailand dan bekalan terhad, namun kenaikan itu dihadkan oleh jualan kenderaan di China yang lemah.
Beliau berkata kepada Bernama, jualan kenderaan di China yang lebih lemah telah menjejaskan sentimen pasaran, di samping ketegangan berterusan antara China dan Kesatuan Eropah (EU) serta ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Menurut laporan, jualan kenderaan di China merosot sebanyak 8.4 peratus tahun ke tahun pada September, yang mencerminkan kelemahan berterusan dalam permintaan tempatan walaupun berlaku pemulihan bulanan.
Sementara itu, EU pula sedang mempertimbangkan langkah pertahanan perdagangan terhadap China pada Disember bagi membendung defisit perdagangannya dan mengurangkan pergantungan terhadap bekalan dari China.
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh keadaan cuaca buruk di negara pengeluar utama dan kebimbangan bekalan yang dikaitkan dengan kemungkinan fenomena El Niño yang lebih kuat berlarutan sehingga awal 2027, di samping penyusutan inventori getah China,” katanya.
Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menyusut 11.5 sen kepada 1,063.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat sebanyak empat sen kepada 781 sen sekilogram.
-- BERNAMA