SHAH ALAM, 13 Okt (Bernama) -- Semua sekolah agama negeri di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di daerah Hulu Langat dan Sepang kekal ditutup esok berikutan perkembangan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sehingga dimaklumkan kelak.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu turut terpakai kepada sekolah Islam persendirian (SIP) di daerah tersebut.
“Pelajar berasrama di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Bagan Lalang, Sepang disaran untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi sekolah agama negeri di daerah dan zon lain, ia akan beroperasi seperti biasa.
“Untuk itu, pemakaian pelitup muka hendaklah diamalkan bagi mengelakkan gangguan kesihatan yang serius.
“Warga sekolah, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti makluman rasmi pihak berkuasa berhubung perkembangan kualiti udara dan arahan operasi sekolah serta tidak membuat andaian pembukaan sekolah,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan semua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan Sepang ditutup esok susulan situasi jerebu yang melanda negara.
-- BERNAMA