KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam proses menggubal satu peraturan khusus bagi mengekang kegiatan "ulat tiket" atau scalping tiket acara di negara ini.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Fuziah Salleh berkata penggubalan peraturan itu dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) berikutan ketiadaan peruntukan khusus dalam undang-undang sedia ada bagi menangani isu berkenaan.
Beliau berkata Seksyen 15(1) Akta 723 memberi punca kuasa kepada Menteri untuk mewujudkan satu mekanisme dalam bentuk peraturan bagi membanteras aktiviti penjualan semula tiket pada harga yang tinggi dan melampau.
“KPDN sedang menjalankan libat urus bersama-sama dengan penganjur acara serta melaksanakan kajian penanda aras dengan tujuan mewujudkan satu kerangka undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah kementerian dalam mengatasi isu ulat tiket yang semakin berleluasa.
Fuziah berkata kajian berkenaan melibatkan penelitian terhadap perundangan dan pendekatan yang diguna pakai di beberapa negara luar seperti Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan dan Singapura.
Beliau berkata antara aspek utama yang diberi tumpuan dalam penggubalan peraturan baharu ialah penyediaan takrifan serta skop scalping yang jelas, pengawalan pembelian tiket secara pukal serta penggunaan identiti pengenalan diri (ID) pada tiket.
Selain itu, kementerian melihat keperluan mewujudkan mekanisme pengiraan catut khusus untuk aktiviti scalping memandangkan peraturan catut sedia ada memerlukan rekod data penjualan selama tiga tahun, manakala penganjuran acara lazimnya bersifat sekali sahaja (one-off).
Menjawab soalan tambahan Mohd Isam berhubung tindakan sementara serta jangkaan pelaksanaan peraturan tersebut, Fuziah menegaskan langkah advokasi secara berterusan kini giat dijalankan bagi mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan ulat tiket.
Beliau berkata peraturan baharu itu tidak memerlukan pembentangan di Parlimen sebaliknya perlu melalui proses pewartaan yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang tahun depan.
-- BERNAMA