Ekonomi 13/10/2026 03:20 PM

Korporat Malaysia Diseru Guna Peluang Dalam Belanjawan 2027 Untuk Transformasi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Korporat Malaysia Diseru Guna Peluang Dalam Belanjawan 2027 Untuk Transformasi
Ketua Pegawai Eksekutif CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) Khairi Shahrin Arief Baki

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Korporat Malaysia diseru untuk memanfaatkan peluang di bawah Belanjawan 2027 bagi meningkatkan pelaburan, produktiviti, perniagaan yang lebih mampan dan berdaya saing, menurut CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY).

Belanjawan MADANI kelima ini dirancang untuk menangani latar belakang luaran yang kurang memberangsangkan seperti konflik di Asia Barat, gangguan kepada tenaga, perkapalan, ketegangan perdagangan dan risiko rantaian bekalan makanan yang semakin melonjak.

Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY Khairi Shahrin Arief Baki berkata Belanjawan 2027 menyediakan lebih banyak alat kepada perniagaan untuk melabur dalam teknologi, kemahiran, kemampanan dan kapasiti produktif.

"Kerajaan boleh menetapkan syarat, menghapuskan halangan dan meletakkan asas. Sama ada asas itu diterjemahkan kepada perniagaan yang lebih kukuh, pekerjaan yang lebih baik serta pendapatan yang lebih tinggi, itu akhirnya terserah kepada syarikat," katanya melalui satu kenyataan.

Khairi ketika mengulas mengenai gaji dan pembangunan tenaga kerja berkata tingkat gaji yang lebih tinggi tidak seharusnya dilihat sebagai kenaikan dalam kos menjalankan perniagaan, disebabkan ia memberi isyarat bahawa model gaji rendah, produktiviti rendah tidak lagi mampan.

Perniagaan perlu melabur dalam kemahiran, teknologi, automasi dan pekerjaan yang direka bentuk lebih baik bagi memastikan kenaikan gaji akan disokong oleh produktiviti yang lebih tinggi.

"Produktiviti tanpa kenaikan gaji akan menyebabkan isi rumah ketinggalan dalam pertumbuhan. Gaji tanpa produktiviti tidak dapat bertahan. Malaysia memerlukan kedua-duanya, naik bersama-sama," katanya.

Khairi berkata prinsip yang sama digunakan untuk kemampanan, dengan insentif pelaburan hijau yang lebih kukuh dan penetapan harga karbon dalam agenda dasar, sambil menambah bahawa syarikat yang bergerak lebih awal akan mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas kadar dan kos peralihan.

Pelaburan awam dalam pengangkutan, air, ketersambungan digital, perumahan dan infrastruktur perindustrian juga akan mengembangkan peluang pelaburan di seluruh Malaysia.

Ketua Negara CGS MY Alan Inn berkata ketidaktentuan global mencerminkan kewajaran untuk syarikat mempelbagaikan lagi asas pendapatan mereka.

"Ketahanan bukan sekadar kunci kira-kira yang kukuh. Sesebuah syarikat yang bergantung pada satu pasaran, satu rantaian bekalan atau satu sumber kelebihan hanya kuat bergantung keadaan di sekelilingnya," tambahnya.

Inn berkata akses kepada pelabur domestik dan antarabangsa akan membantu perniagaan Malaysia membiayai pengembangan serantau, pemerolehan serta pelaburan teknologi untuk bersaing di peringkat yang lebih besar.

-- BERNAMA