Dunia 13/10/2026 02:56 PM

Pelakon 'Breaking Bad' RJ Mitte Meninggal Dunia Pada Usia 34 Tahun

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelakon 'Breaking Bad' RJ Mitte Meninggal Dunia Pada Usia 34 Tahun
-- Photo by Evan Agostini/Invision/AP, File

LONDON, 13 Okt (Bernama-PA Media/dpa) -- Pelakon Amerika Syarikat (AS) RJ Mitte, yang terkenal menerusi lakonannya dalam siri televisyen popular Breaking Bad, meninggal dunia pada usia 34 tahun, lapor PA Media/dpa.

Mitte meraih kemasyhuran menerusi wataknya sebagai Walter White Jr, anak kepada karakter lakonan Bryan Cranston dalam siri yang memenangi Anugerah Emmy, selain aktif memperjuangkan hak golongan orang kurang upaya (OKU) berdasarkan pengalamannya sendiri menghidap palsi serebrum.

Menurut laporan, berita kematian Mitte diumumkan oleh wakilnya pada Isnin.

Mitte, atau nama sebenarnya Roy Frank Mitte III, merupakan pelakon dan penerbit yang memulakan kerjaya dalam industri hiburan menerusi watak kecil dalam siri komedi televisyen seperti Everybody Hates Chris dan Hannah Montana.

Namanya mula dikenali pada 2008 selepas memperoleh watak utama dalam siri drama jenayah popular Breaking Bad, sebagai anak kepada Walter White, seorang guru kimia sekolah menengah yang pada asalnya berperwatakan sederhana sebelum berubah menjadi ketua sindiket dadah yang kejam.

Mitte mula muncul dalam siri itu ketika berusia 15 tahun dan terus membawakan watak berkenaan sehingga siri itu berakhir pada 2013, bersama barisan pelakon Hollywood termasuk Cranston, Aaron Paul, Anna Gunn, Bob Odenkirk dan Dean Norris.

Norris, yang melakonkan watak bapa saudara Mitte, Hank Schrader, seorang ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) dalam Breaking Bad, menyifatkan pelakon itu seperti anak sendiri menerusi hantaran penghormatan di media sosial.

"Saya sedang bekerja dan baru mendapat tahu mengenai RJ. Saya benar-benar berdukacita.

"Dia seorang anak muda yang sangat baik hati dan pasti amat dirindui. Berita ini sungguh menyedihkan, saya masih sukar mempercayainya. Ingatan saya bersama beliau dan keluarganya," kata Norris.

Mitte turut membintangi beberapa siri televisyen termasuk Switched at Birth, Vegas, Now Apocalypse dan Chance, selain filem seperti Time Share, Dixieland dan Westhampton.

Sepanjang kerjayanya, beliau turut memperagakan pakaian dalam pertunjukan fesyen Vivienne Westwood dan menjadi antara penyampai liputan Sukan Paralimpik Musim Panas Rio 2016 menerusi saluran televisyen Channel 4.

Beliau juga pernah muncul dalam beberapa video muzik, termasuk bekerjasama dengan kumpulan muzik Britain Nothing But Thieves dan kumpulan rock AS Hollywood Undead.

Mitte disahkan menghidap palsi serebrum ketika berusia tiga tahun, iaitu keadaan kesihatan yang menjejaskan pergerakan dan koordinasi akibat gangguan perkembangan otak sekitar waktu kelahiran, menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain.

Beliau sering berkongsi secara terbuka mengenai keadaan kesihatannya dan menggunakan pengaruh sebagai pelakon untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat terhadap golongan OKU.

Mitte turut berkhidmat sebagai duta kepada beberapa organisasi berkaitan OKU dan kesihatan, termasuk United Cerebral Palsy, Shriners Children's dan Can Do Canines.

Beliau juga merupakan presiden Mitte Foundation, sebuah yayasan yang menyediakan geran dan biasiswa kepada golongan memerlukan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa