Am 08/10/2026 01:37 PM

Kerajaan Teliti Peruntukan, Insentif Cukai Galak Penyertaan Bumiputera Dalam Industri Halal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Teliti Peruntukan, Insentif Cukai Galak Penyertaan Bumiputera Dalam Industri Halal
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedia meneliti cadangan berkaitan langkah proaktif meningkatkan penyertaan bumiputera terutama beragama Islam dalam industri halal, termasuk menyediakan peruntukan tambahan serta insentif cukai yang lebih baik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata penelitian itu termasuk cadangan untuk peningkatan penggunaan tenaga mahir serta teknologi.

"Insya-Allah, perkara ini kami akan teliti bagi memastikan penglibatan Bumiputera Islam semakin meningkat bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan langkah proaktif supaya peratusan penyertaan bumiputera Islam di peringkat antarabangsa yang kini sebanyak enam peratus ditingkatkan kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Marhamah berkata penyertaan bumiputera menunjukkan perkembangan yang sangat positif apabila pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) meningkat daripada 2,190 pada 2024 kepada 2,527 pada tahun berikutnya.

"Untuk 2026 sahaja, bermula Januari hingga September, sebenarnya terdapat sebanyak 740 pemegang SPHM baharu dalam kalangan bumiputera direkodkan," katanya.

Secara keseluruhannya, Marhamah berkata rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setakat 30 Sept lepas menunjukkan pemegang SPHM yang aktif terdiri daripada 38.83 peratus milikan bumiputera, 57.96 peratus milikan bukan bumiputera, manakala 3.21 peratus milikan asing.

"Mengambil kira kedudukan ini, kerajaan komited untuk terus memperkukuh penyertaan, pemilikan, dan penguasaan bumiputera dalam industri halal, khususnya dalam segmen bernilai tinggi meliputi pengeluaran bahan mentah dan ramuan, teknologi, pengilangan, serta produk halal bernilai tambah tinggi," katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa membuka ruang kepada usahawan kecil bumiputera terutama beragama Islam untuk menyertai ekosistem halal melalui Skim Kotej Halal bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam penghasilan bahan mentah dan ramuan halal.

Marhamah berkata skim itu juga membuka ruang kepada lebih ramai pengusaha industri kotej untuk memperoleh SPHM dan pendekatan itu juga selaras dengan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pelan itu antaranya menggariskan inisiatif utama bagi memperkukuh daya saing dan penyertaan bumiputera dalam industri halal seperti membangunkan industri kecil bumiputera melalui program intervensi berasaskan prestasi bagi mengembangkan perniagaan dan pendapatan.

-- BERNAMA