PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia memerlukan bakat berkemahiran untuk menyokong peralihan kepada ekonomi bernilai tinggi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata ketika ini negara mempunyai dasar dan pelan bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi antaranya Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, Rancangan Malaysia Ke-13 dan Dasar TVET Negara 2030.
“Kita mahu industri bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai. Kita mahu sektor pertumbuhan tinggi berkembang. Kita mahu pelaburan berkualiti membawa teknologi dan pekerjaan yang lebih baik.
“Namun, tidak ada transformasi ekonomi tanpa transformasi bakat. Kita boleh membawa masuk teknologi terbaik dan membangunkan infrastruktur tercanggih tetapi akhirnya semuanya bergantung kepada manusia yang mempunyai ilmu, kemahiran dan nilai untuk menggerakkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Aminuddin Hassim pada Program Industry Nexus (INDEX) 2026: TVET Collaboration Hub di sini hari ini.
Zambry berkata INDEX bukan sekadar platform yang mempertemukan institusi dengan industri sebaliknya menjadi titik pertemuan yang menghubungkan keperluan industri dengan kekuatan pendidikan tinggi.
“Kita mahu hubungan ini bergerak daripada sekadar penglibatan kepada usaha mencipta sesuatu secara bersama. Industri tidak hanya berada di penghujung rantaian sebagai penerima graduan tetapi bersama-sama institusi dalam mengenal pasti keperluan, membentuk kompetensi, membawa teknologi dan membuka ruang pengalaman sebenar.
“Dengan kata lain, kita perlu bergerak daripada hubungan kepada kolaborasi, dan daripada kolaborasi kepada penciptaan nilai,” katanya.
Sementara itu, Zambry berkata Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) perlu terus memperkukuh program berimpak tinggi yang mempunyai hubungan jelas dengan sektor pertumbuhan dan keperluan industri.
“Prinsipnya mudah. Jangan bangunkan program dahulu, kemudian bertanya kepada industri sama ada graduan itu diperlukan. Kenal pasti keperluan industri, kemudian bangunkan program dan bakat bersama-sama.
“Pendekatan ini penting untuk menangani isu ketidakpadanan kemahiran. Kita tidak boleh berpuas hati sekadar apabila graduan mendapat pekerjaan,” katanya.
-- BERNAMA