SHAH ALAM, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) esok untuk membincangkan langkah susulan berhubung situasi jerebu yang melanda negeri itu ketika ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pertemuan itu bertujuan untuk meneliti tindakan yang perlu diambil, termasuk membabitkan operasi sekolah berdasarkan perkembangan kualiti udara dan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Saya sedang tunggu laporan akhir meteorologi untuk lihat berapa lama lagi unjuran ini. Kita ada pelan untuk membantu, contohnya sekolah-sekolah pendidikan khas. Kita tengok satu dua hari ini macam mana keadaannya sebab sesi sekolah dijangka tamat pada November, sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya akan berjumpa dengan JPNS esok untuk kita lihat apa langkah-langkah susulan segera yang boleh kita buat. Bagaimanapun kita ada standard, maknanya kalau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah hingga 200 kita akan tutup sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 500 penerima Program Jelajah Sejahtera MADANI-Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan susulan akan diselaraskan bersama JPNS mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sekiranya keadaan kualiti udara bertambah serius, selain pihak pentadbiran negeri juga akan terus memperkasakan koordinasi bersama agensi teknikal berkaitan demi menjamin keselamatan dan kesihatan awam secara berterusan.
“Sebenarnya yang lebih mendebarkan adalah pada bulan Februari hingga April tahun depan kerana fenomena Super El Nino ini diramalkan berpanjangan hingga April. Ia fasa permulaan musim panas dan kemungkinan kita akan berdepan cuaca panas dan kekurangan hujan.
“Pemantauan rapi amat penting bagi memastikan sebarang langkah pencegahan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan jadual akademik serta keselamatan para pelajar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata bekalan air mentah di Selangor ketika ini kekal stabil dan mencukupi untuk menampung keperluan domestik menjelang fasa peralihan monsun.
Beliau berkata berdasarkan data terkumpul setakat ini, bekalan air negeri mampu bertahan antara minimum tiga bulan hingga maksimum sembilan bulan, bergantung kepada keadaan cuaca dan penerimaan hujan.
Terdahulu, Amirudin melancarkan Program Jelajah Sejahtera MADANI - SIKR 3.0 hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN).
Sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk menyediakan perlindungan insurans selama 12 bulan kepada 250,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih bagi menghadapi musibah seperti kematian, kemalangan, dan hilang upaya kekal, di samping penyertaan 500 isi rumah dalam saringan kesihatan percuma oleh PruBSN Prihatin.
Inisiatif menyeluruh itu bermatlamat untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial, membantu keluarga berdepan kesukaran hidup, serta menyokong aspirasi Kerajaan MADANI ke arah kestabilan sosial dan kesejahteraan rakyat yang berkekalan.
-- BERNAMA