Am 08/10/2026 03:34 PM

KPDN Melaka Tahan Dua Individu Seleweng Minyak Masak Bersubsidi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPDN Melaka Tahan Dua Individu Seleweng Minyak Masak Bersubsidi
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin (kiri) menunjukkan minyak masak pada sidang media di Stor KPDN Krubong hari ini.

MELAKA, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini hari ini.

Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata pihaknya menahan kedua-dua suspek, masing-masing berusia 45 dan 53 tahun dalam serbuan kira-kira 10 pagi itu.

"Kedua-dua suspek merupakan seorang peruncit dan pembeli minyak masak terpakai dan hasil serbuan menemukan kira-kira 425 kilogram (kg) minyak masak peket dianggarkan bernilai RM1,062.50 yang dibawa ke rumah individu menjalankan perniagaan jual beli minyak terpakai itu.

"Siasatan awal mendapati bekalan minyak masak peket bersubsidi itu diperoleh daripada sebuah kilang minyak masak sebelum dicampur dengan minyak masak terpakai dan dijual kepada pihak ketiga bagi tujuan penyelewengan," katanya pada sidang media di Stor KPDN Krubong di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan bersubsidi berkenaan.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi syarikat pula tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

"KPDN Melaka akan terus memerangi aktiviti penyelewengan ini demi kesejahteraan masyarakat dan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar tidak sesekali cuba memanipulasi, menyeleweng atau berurusan dengan barang kawalan tanpa permit dan lesen yang sah.

"Fokus utama Ops Tiris 4.0 bersepadu adalah untuk memastikan ketirisan subsidi negara dapat dibendung sepenuhnya dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang," katanya.

-- BERNAMA