Am 08/10/2026 02:38 PM

Dua Remaja Lelaki Didakwa Atas Kematian Pelajar Tingkatan Dua Di Kuala Pilah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Remaja Lelaki Didakwa Atas Kematian Pelajar Tingkatan Dua Di Kuala Pilah
Pengamal media berkumpul di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi membuat liputan kes dua remaja berusia 16 tahun yang didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki tingkatan dua di asrama sebuah sekolah menengah, bulan lepas.

KUALA PILAH, 8 Okt (Bernama) -- Dua remaja lelaki berumur 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki tingkatan dua di asrama sebuah sekolah menengah di sini, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua remaja itu didakwa secara bersama menyebabkan kematian mangsa yang berusia 14 tahun, antara 7.30 malam hingga 8.30 malam di asrama sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah, 25 Sept lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 304 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum gantung, hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah menetapkan 7 Dis ini bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, Hanif ketika ditemui pemberita berkata pihak pembelaan memohon mahkamah mengeluarkan arahan supaya kedua-dua tertuduh diberi perkhidmatan kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).  

Beliau berkata intervensi kaunseling itu amat penting bagi membantu menjaga kesihatan mental dan emosi kedua-dua remaja berkenaan sepanjang ditempatkan di pusat koreksional sementara menunggu tarikh sebutan semula kes, selaras dengan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian pada 25 Sept itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata polis merekodkan 69 keterangan dalam siasatan kes itu, selain lima pelajar tampil mendakwa pernah dibuli oleh seorang daripada dua remaja terbabit.

-- BERNAMA