Oleh MUHAMMAD ZULKARNAIN MOHD AZMAN
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- “Sukar untuk membayangkan pasukan Formula Satu (F1) Mercedes tanpa PETRONAS.”
Demikian gambaran Prinsipal Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team Toto Wolff mengenai kerjasama yang bermula sebagai kolaborasi pemasaran 16 tahun lepas dan kini berkembang menjadi sebahagian penting daripada identiti serta pembangunan kejuruteraan pasukan.
Wolff berkata daripada menyumbang kepada jentera yang membawa Mercedes meraih kejuaraan dunia hingga membangunkan teknologi bahan api bagi menghadapi era teknikal baharu F1, peranan PETRONAS kini jauh melangkaui penajaan konvensional.
Malah, beliau menyifatkan hubungan kedua-dua pihak ketika ini sebagai sebuah organisasi yang “bersepadu sepenuhnya”.
“Kami berharap kerjasama ini turut membanggakan Malaysia. Kami telah memenangi begitu banyak Kejuaraan Dunia dan perlumbaan bersama-sama,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.
Sejak memulakan kerjasama pada 2010, kepakaran Mercedes dalam pembangunan casis dan unit kuasa digabungkan dengan teknologi bahan api serta bendalir PETRONAS dalam usaha memaksimumkan prestasi pasukan.
Wolff berkata PETRONAS kini menjadi sebahagian daripada kecemerlangan kejuruteraan yang memacu prestasi pasukan, dengan setiap komponen perlu berfungsi secara bersepadu bagi memastikan jentera mencapai tahap optimum.
“Kami mempunyai bahagian casis yang membangunkan jentera, bahagian unit kuasa yang menghasilkan keseluruhan sistem enjin dan komponen elektrik, manakala PETRONAS membekalkan bahan api yang menggerakkan semuanya ke arah kejayaan,” katanya.
Wolff turut menyifatkan F1 sebagai “makmal terpantas di dunia”, apabila usaha berterusan meningkatkan kecekapan, keselamatan dan prestasi menghasilkan inovasi serta pengetahuan yang akhirnya berpotensi diaplikasikan pada kenderaan jalan raya.
Beliau berkata kaitan itu amat jelas dalam pembangunan bahan api dan pelincir apabila teknologi yang diuji dalam persekitaran perlumbaan berprestasi tinggi boleh dimanfaatkan untuk kegunaan harian.
“Konsep asas bahan api yang kami gunakan untuk berlumba dalam F1 hari ini adalah sama seperti yang anda peroleh di stesen minyak,” katanya.
“Sudah tentu bukan pada tahap ekstrem seperti yang digunakan dalam F1, tetapi produk yang terdapat di stesen minyak menggunakan formula yang dibangunkan menerusi F1,” katanya.
Bagi Wolff, hubungan antara teknologi di litar dan produk kegunaan harian itu turut menjelaskan mengapa penglibatan PETRONAS bersama Mercedes melangkaui konsep penajaan konvensional.
Mercedes membangunkan jentera manakala PETRONAS menghasilkan bahan api dan bendalir yang menyokong prestasinya, dengan F1 menjadi medan bagi kedua-dua pihak menguji serta mengembangkan teknologi masing-masing dalam persekitaran paling kompetitif.
“Mercedes boleh menaja minggu fesyen, kejohanan tenis atau golf, tetapi kami tidak menghasilkan kayu golf.
“Pada asasnya, produk yang terlibat di sini ialah petrol dan bahan api, dan itulah yang kami gunakan. Kami menggunakan petrol serta bahan api mampan termaju dalam jentera F1 kami dengan harapan dapat memenangi trofi dan membanggakan Malaysia,” katanya.
Menariknya, apabila ditanya mengenai pencapaian paling bermakna sepanjang 16 tahun kerjasama itu, Wolff tidak memilih kejuaraan dunia, kemenangan perlumbaan mahupun kejayaan pembangunan teknologi.
Sebaliknya, beliau menyifatkan hubungan dan kepercayaan yang terjalin antara kedua-dua organisasi sebagai pencapaian paling bernilai.
“Perkara paling bermakna ialah hubungan yang berjaya kami bina bersama PETRONAS. Begitu ramai sahabat dan persahabatan yang terjalin, selain hubungan berasaskan kepercayaan.
“Itulah yang sentiasa menjadi asas paling penting dalam sesebuah hubungan, kerjasama dan kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Prinsipal Pasukan Mercedes Bradley Lord berkata perubahan dalam peraturan teknikal F1 membuka peluang kepada Mercedes dan PETRONAS untuk mengambil pendekatan pembangunan secara menyeluruh, bukan sekadar menghasilkan komponen terbaik secara berasingan tetapi memastikan kesemuanya berfungsi sebagai satu pakej yang optimum.
Beliau berkata antara elemen penting dalam usaha itu ialah PETRONAS Advanced Sustainable Fuel (ASF), dengan Mercedes dan PETRONAS berpegang kepada prinsip bahawa penggunaan bahan api mampan tidak seharusnya menjejaskan daya saing di litar.
Lord berkata kedua-dua pihak memulakan projek berkenaan dengan sasaran memastikan bahan api mampan mampu menawarkan prestasi setanding bahan api perlumbaan konvensional, malah berpotensi mengatasinya.
“Kami tidak melihat sebarang sebab mengapa penggunaan bahan api mampan perlu mengorbankan prestasi. Jadi, kami menetapkan sasaran yang sangat tinggi dan sejak itu, banyak usaha dilakukan untuk mencapainya,” katanya.
Lord berkata PETRONAS bukan sahaja perlu membangunkan bahan api mampan berkenaan, malah membangunkan keseluruhan rantaian bekalan untuk menghasilkannya, bermula daripada sumber bahan mentah hingga produk akhir yang digunakan di litar.
“PETRONAS bukan sekadar menghasilkan bahan api mampan, malah keseluruhan rantaian bekalan untuk menghasilkan bahan api itu, daripada bahan mentah sehingga menjadi produk akhir.
“Setiap aspek perlu dikenal pasti, menerima pelaburan, dibangunkan dan dipersiapkan untuk beroperasi bagi membolehkan bahan api itu digunakan dalam perlumbaan musim ini.
“Ia merupakan projek berskala besar untuk menghasilkan sesuatu yang belum pernah wujud ketika peraturan itu dirangka,” katanya.
Usaha berkenaan memerlukan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) intensif selama kira-kira dua setengah hingga tiga tahun, membabitkan kerjasama pasukan teknologi bahan api PETRONAS di Kuala Lumpur dengan operasi kejuruteraan Mercedes di Brixworth dan Brackley, United Kingdom.
Lord menyifatkan kerjasama antara kedua-dua organisasi itu begitu erat hingga kedua-duanya berfungsi seolah-olah sebuah pasukan.
“Kami seperti satu pasukan. Sejak awal lagi, kami bersama-sama menetapkan sasaran yang sangat tinggi,” katanya.
Komitmen itu menyaksikan pasukan berkenaan bekerja hingga lewat malam termasuk pada hujung minggu dalam usaha mendapatkan setiap kelebihan, biarpun sekecil beberapa milisaat, sekali gus mencerminkan betapa rapatnya inovasi dan persaingan dalam F1.
Wolff mengimbau permulaan era hibrid pada 2014 sebagai antara contoh bagaimana pembangunan unit kuasa dan bahan api secara seiring mampu memberikan kelebihan kompetitif kepada pasukan.
“Pada 2014, kami berjaya melonjak mengatasi pesaing dengan bermulanya era hibrid dan pengenalan bahan api baharu, manakala tahun ini pula ia benar-benar membawa perubahan besar,” katanya.
Bagaimanapun, manfaat pembangunan teknologi berkenaan tidak hanya terhad kepada jentera F1 di litar.
Lord berkata antara kekuatan terbesar F1 ialah keupayaannya mempercepat pembangunan teknologi apabila jurutera perlu bekerja dalam tempoh amat singkat, selain sentiasa menguji produk hingga ke tahap keupayaan maksimum.
“Kami dapat mempelajari banyak perkara dengan sangat pantas, jauh lebih cepat berbanding dalam persekitaran lain.
“Kami juga sentiasa menguji hingga tahap maksimum, jadi sebarang kelemahan dalam sesuatu teknologi atau produk dapat dikenal pasti dengan cepat,” katanya.
Sama ada bekerjasama dengan Mercedes-Benz dalam pembangunan sistem hibrid dan bateri mahupun PETRONAS bagi teknologi bahan api, Lord berkata tahap persaingan tinggi dalam F1 mampu mempercepat proses pembelajaran dan pembangunan teknologi dengan ketara.
“Dalam tempoh tiga tahun misalnya, mereka boleh memperoleh pengetahuan yang mungkin mengambil masa 10 tahun untuk dicapai jika dibangunkan dalam persekitaran lain. Itulah kelebihan yang lahir daripada persaingan,” katanya.
Pengetahuan dan kepakaran yang diperoleh menerusi persekitaran kompetitif itu kemudiannya berpotensi dimanfaatkan dalam pembangunan teknologi serta produk untuk kegunaan lebih meluas di luar F1.
-- BERNAMA