Am 08/10/2026 02:41 PM

Tourism Malaysia, Oppo Malaysia Kerjasama Tampil Keindahan Malaysia Menerusi Lensa Digital

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tourism Malaysia, Oppo Malaysia Kerjasama Tampil Keindahan Malaysia Menerusi Lensa Digital
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026Ð2027, Mohd Akbal Setia, menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Pemasaran OPPO Malaysia, Monica Qin, pada Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara OPPO Malaysia dan Tourism Malaysia di sebuah hotel hari ini.

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Tourism Malaysia dan Jie Business Sdn Bhd (OPPO Malaysia) hari ini menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memperkukuh promosi digital negara sebagai destinasi pelancongan pilihan utama menjelang Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026-2027.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia merangkap Ketua Urus Setia TMM 2026-2027 Mohd Akbal Setia dan Pengarah Pemasaran Jie Business Sdn Bhd (OPPO Malaysia) Monica Qin.

Mohd Akbal berkata kerjasama itu bukan sahaja menampilkan keunikan dan keindahan Malaysia, malah turut mengetengahkan kreativiti jurugambar tempatan menerusi seni serta visual.

“Dalam dunia digital hari ini, keputusan untuk melancong boleh tercetus hanya dengan melihat sekeping gambar atau video. OPPO mempunyai jaringan luas dalam kalangan mereka yang berbakat, platform digital yang hebat serta telefon pintar yang mampu menghasilkan gambar menakjubkan.

“Kerjasama dengan jurugambar, kita dapat memperkenalkan jenama Malaysia kepada ramai orang di seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata kerjasama itu merupakan kesinambungan daripada Program Komunikasi Strategik di Kelantan yang melibatkan 15 peserta daripada OPPO Malaysia bagi menonjolkan destinasi serta pengalaman unik di Malaysia menerusi penceritaan visual.

Mohd Akbal berkata sektor pelancongan negara terus menunjukkan momentum positif apabila Malaysia merekodkan 28.8 juta ketibaan pelancong antarabangsa dari Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8 peratus berbanding tahun lepas.

OPPO sebagai syarikat teknologi mampu membantu usaha mempromosikan TMM 2026-2027 menerusi rangkaian bakat, platform digital dan teknologi telefon pintar yang berupaya menghasilkan kandungan visual berkualiti.

Kolaborasi itu turut melibatkan perkongsian idea, data penyelidikan pasaran dan trend pelancongan bagi merangka kempen yang lebih berfokus untuk menarik pelancong celik teknologi dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata kerjasama itu turut memberikan tumpuan kepada aspek manusia, budaya dan komuniti termasuk mengetengahkan lokasi pelancongan seperti keindahan Pantai Timur Malaysia seperti di Kelantan menerusi lawatan suai kenal yang dianjurkan bersama Tourism Malaysia.

Mohd Akbal berkata usaha berkenaan dapat membantu membawa jenama Malaysia kepada khalayak global menerusi kandungan visual yang dihasilkan jurugambar dan pencipta kandungan tempatan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak media, jurugambar, pencipta kandungan dan rakan kongsi OPPO atas sokongan terhadap inisiatif ini. Hasil kerja anda memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia dengan menggabungkan kekayaan budaya dan warisan kita dengan kemajuan teknologi digital untuk memperlihatkan kepada dunia keunikan sebenar ‘Malaysia Truly Asia’,” katanya.

-- BERNAMA