Oleh Dr Hazimah Samin
Setiap pagi, ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan mereka memperoleh ilmu, membina sahsiah dan mengembangkan potensi diri. Harapan itu bertunjangkan satu kepercayaan: anak mereka akan belajar dalam persekitaran yang selamat dan pulang dalam keadaan baik. Kepercayaan ini perlu diperkukuh melalui dasar yang jelas, pelaksanaan yang berkesan dan pembiayaan yang mencukupi.
Kematian Zara Qairina di Sabah, kejadian pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah di Petaling Jaya, kematian pelajar di asrama sekolah di Kuala Pilah serta kes Irene Sofiya di Yong Peng mengangkat persoalan keselamatan murid ke tengah perhatian masyarakat. Setiap kejadian mempunyai latar belakang dan proses siasatan tersendiri. Namun, kehilangan nyawa pelajar menuntut penelitian serius terhadap keupayaan institusi pendidikan mengesan risiko dan bertindak sebelum ancaman menjadi tragedi.
Belanjawan 2027 harus menyediakan ruang untuk memperkukuh usaha tersebut. Logiknya, penyediaan Peruntukan Khas Audit dan Keselamatan Sekolah Nasional bagi membiayai Penilaian Risiko Keselamatan Sekolah, pembaikan infrastruktur, pengawasan, pelindungan psikososial serta latihan dan pemantauan keselamatan wajar dilaksanakan secara berkala di setiap institusi pendidikan.
Berikutan kes jenayah, keselamatan, kecuaian dan pelbagai tekanan, netizen turut merasakan keselamatan adalah prasyarat kepada pembelajaran berkualiti. Lebih setengah juta murid dan pelajar memerlukan keyakinan bahawa mereka dilindungi, aduan mereka didengar dan bantuan tersedia apabila diperlukan. Justeru, peruntukan perbelanjaan keselamatan sekolah merupakan pelaburan dalam kesejahteraan murid dan keupayaan mereka membina masa hadapan.
Peruntukan sebagai asas pelaksanaan polisi
Keperluan pembiayaan ini turut berkait dengan Polisi Perlindungan Murid Sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Bilangan 4 Tahun 2026. Pekeliling tersebut menetapkan bahawa warga sekolah dan pihak luar yang mempunyai urusan dengan sekolah serta warganya hendaklah menandatangani Surat Aku Janji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah bawah Kementerian Pendidikan. Surat yang ditandatangani menjadi bukti penerimaan dan komitmen terhadap pematuhan serta pelaksanaan polisi.
Komitmen ini memerlukan sokongan operasi. Justeru Belanjawan 2027 wajar menyediakan pembiayaan yang membolehkan sekolah melaksanakan prosedur pelindungan, menyelenggara kemudahan dan memberikan latihan kepada pihak yang terlibat. Hubungan antara polisi dengan belanjawan perlu jelas: tanggungjawab yang ditetapkan mesti disertai keupayaan untuk melaksanakannya.
Guru mempunyai tanggungjawab profesional terhadap tugas hakiki di samping menjaga kebajikan murid, tetapi tindakan mereka turut bergantung pada sumber dan bidang kuasa. Guru boleh melaporkan pagar rosak atau kawasan gelap; namun pembaikannya memerlukan kelulusan, dana dan tindakan pihak pengurusan. Oleh itu, pelaksanaan Aku Janji perlu disokong oleh pembahagian tanggungjawab yang jelas pada setiap peringkat terutama apabila berlaku insiden. Penilaian hendaklah berasaskan kepada bukti, skop tugas, sumber yang tersedia dan tindakan terhadap risiko yang telah dilaporkan. Akauntabiliti yang adil perlu membezakan kecuaian individu daripada kelemahan sistem supaya guru tidak menjadi pihak yang paling mudah dipersalahkan, sementara punca sebenar tidak ditangani sedangkan keselamatan murid merupakan tanggungjawab kolektif ekosistem pendidikan.
Audit sebagai asas pencegahan
Keutamaan pertama ialah pembiayaan Audit Keselamatan Sekolah Nasional secara berperingkat. Audit perlu menghasilkan gambaran risiko yang boleh digunakan untuk menentukan tindakan dan keperluan kewangan setiap sekolah.
Penilaian hendaklah merangkumi pagar dan perimeter, kawalan akses, pencahayaan, kawasan terlindung daripada pengawasan serta kemudahan seperti tandas, tangga, bengkel, makmal dan asrama. Penilaian ini juga harus dinilai dari sistem operasi yang meliputi pengurusan pelawat, rondaan, prosedur kecemasan dan pengawasan aktiviti. Manakala hasil siasatan dan audit yang berkaitan hendaklah diterjemahkan kepada pembaharuan dasar dan prosedur yang nyata, bukannya sekadar tindakan pentadbiran sementara.
Audit juga perlu menilai kefahaman warga sekolah terhadap prosedur serta kemampuan mereka melaksanakannya. Pandangan guru, kakitangan, murid dan ibu bapa dapat membantu mengenal pasti jurang antara ketetapan polisi dengan pengalaman harian di sekolah. Pelaksanaannya wajar disokong oleh pasukan yang mempunyai kepakaran berkaitan dan menggunakan rekod sedia ada bagi mengurangkan beban pentadbiran guru.
Risiko sebagai asas agihan peruntukan
Agihan dana dicadangkan berasaskan tahap risiko, bilangan murid yang terdedah, tempoh penggunaan premis dan kecukupan pengawasan. Setiap sekolah wajar mempunyai Profil Risiko Keselamatan Sekolah yang menjadi asas penilaian permohonan serta penentuan keutamaan pembiayaan.
Profil tersebut membolehkan intervensi disesuaikan dengan keadaan institusi. Contohnya;
i. Sekolah berasrama mungkin memerlukan pengukuhan keselamatan asrama dan pengawasan pada waktu malam.
ii. Sekolah dengan bangunan lama memerlukan pemeriksaan teknikal dan pembaikan berdasarkan keadaan kemudahan,
iii. Sekolah yang menjalankan aktiviti selepas waktu persekolahan memerlukan kawalan akses serta sokongan petugas mengikut tempoh penggunaan premis.
Sekolah yang menghadapi risiko kritikal perlu menerima intervensi lebih awal. Profil risiko hendaklah dikemas kini secara berkala supaya perubahan keadaan dapat diambil kira dalam agihan dana dan penilaian keberkesanan tindakan.
Penambahbaikan sebagai keutamaan pasca audit
Keutamaan kedua ialah menukar dapatan audit kepada pelan penambahbaikan yang mempunyai anggaran kos. Setiap penemuan perlu diperincikan mengikut skop kerja, kuantiti peralatan, tahap keutamaan dan tempoh pelaksanaan. Anggaran hendaklah disemak oleh pihak yang mempunyai kepakaran teknikal supaya permohonan peruntukan sepadan dengan keperluan sebenar. Pelan ini boleh merangkumi;
i. pembaikan pagar dan pintu keselamatan,
ii. peningkatan pencahayaan,
iii. pengukuhan kawalan akses,
iv. penyelenggaraan Kamera Litar Tertutup (CCTV)
v. penyediaan sistem komunikasi kecemasan.
Kos di peringkat sekolah dicadangkan diselaraskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri untuk membentuk anggaran keperluan keseluruhan Kementerian Pendidikan. Justeru Guru Besar, Pengetua, Pegawai Pejabat Daerah serta Pengarah Jabatan Pendidikan Guru seharusnya lebih peka dengan kelemahan setiap sekolah, bukan sekadar jawatan dipegang tetapi keprihatinan juga adalah ‘kos’ harus tanggung.
Bagi penyediaan Belanjawan 2027, dapatan audit dan rekod penyelenggaraan yang tersedia boleh menjadi asas anggaran awal. Dapatan baharu pula boleh memperincikan agihan serta pelaksanaan secara berperingkat. Pendekatan ini membolehkan pembiayaan dirancang tanpa menangguhkan tindakan terhadap risiko yang telah diketahui.
Justeru, pihak Kementerian perlu menyediakan dana khas seperti Dana Penambahbaikan Keselamatan Segera untuk menangani risiko kritikal, disertai pembiayaan berjadual bagi penambahbaikan lain. Anggaran perlu meliputi kos awal, operasi, penyelenggaraan berkala dan langkah kawalan sementara. Setiap kerja mesti mempunyai pihak bertanggungjawab, tempoh penyelesaian dan pengesahan bahawa risiko telah dikurangkan.
Pengawasan berterusan, pelindungan menyeluruh
Keutamaan ketiga ialah pembiayaan pengawasan sepanjang murid berada di bawah tanggungjawab sekolah. Kelas tambahan, latihan sukan, kegiatan kokurikulum dan program hujung minggu memerlukan aturan keselamatan yang mengambil kira bilangan murid, kawasan digunakan dan jumlah petugas.
Perancangan perlu merangkumi rekod kehadiran, kawalan keluar masuk, penetapan kawasan aktiviti serta tatacara murid meninggalkan sekolah. Keperluan sokongan petugas dan perkhidmatan keselamatan hendaklah dinilai bersama kos operasinya agar penugasan guru dapat dilaksanakan secara munasabah.
Pembiayaan ini mengambil kira tempoh sebenar penggunaan premis membantu memastikan perlindungan berterusan apabila aktiviti berlangsung di luar jadual persekolahan biasa.
Memperkukuh perlindungan psikososial murid
Keutamaan keempat ialah pembiayaan pengesanan awal dan sokongan psikososial bagi menangani buli, gangguan, ugutan, konflik serta tekanan emosi. Keperluan ini merangkumi kos;
i. latihan petugas,
ii. penyediaan platform aduan yang mudah diakses,
iii. perkhidmatan kaunseling,
iv. rujukan profesional.
Guru serta kakitangan perlu mengetahui tanda risiko dan saluran bantuan, sementara murid mesti yakin bahawa laporan mereka akan ditangani secara adil. Kes yang melangkaui kepakaran guru juga memerlukan sokongan pihak yang terlatih. Kerahsiaan, pelindungan daripada tindakan balas dan pendekatan yang mengelakkan stigma perlu menjadi asas pengendalian aduan.
Anggaran pembiayaan pengesanan awal hendaklah mengambil kira kecukupan perkhidmatan, jumlah murid dan keperluan intervensi sekolah. Dengan sokongan tersebut, pengesanan awal dapat disusuli bantuan yang tepat pada masanya.
Kesiapsiagaan dan pemantauan peruntukan
Keutamaan kelima ialah kos latihan kecemasan, pemantauan pelaksanaan di samping penambahan peralatan teknologi dan pemodenan sistem keselamatan perlu dilaksanakan. Pembiayaan yang menyokong latihan bagi menghadapi pencerobohan, kehilangan murid, kecederaan serius dan kecemasan lain, harus diberi keutamaan dengan kerjasama polis, bomba, agensi kesihatan, PIBG serta komuniti. Pada peringkat pengurusan, papan pemuka (dashboard) digital keselamatan boleh merekodkan tahap risiko, peruntukan diluluskan, perbelanjaan dan kemajuan pembaikan. Penggunaan sistem serta data sedia ada wajar diutamakan, dengan kawalan akses bagi melindungi maklumat sensitif.
Keberhasilan perlu dinilai melalui pengurangan risiko, kepantasan penyelesaian dan kesiapsiagaan warga sekolah. Maklumat tersebut juga dapat menunjukkan sama ada dana digunakan mengikut keutamaan dan memberikan hasil yang diharapkan.
Belanjawan 2027 berpeluang memperkukuh pelaksanaan dasar perlindungan murid melalui rangka tindakan yang jelas seperti audit, nilai risiko, biayai tindakan dan pantau keberkesanan. Justeru, Aku janji menyatakan komitmen, audit memperincikan keperluan dan peruntukan menggerakkan pelaksanaan.
Sebagai pendidik, saya percaya perlindungan murid dan sokongan kepada guru akan mengukuhkan kesedaran dan komitmen antara pentadbir, pengurus, guru dan ibu bapa. Pelaburan yang terancang membolehkan warga sekolah melaksanakan amanah dengan yakin, sementara setiap peringkat pengurusan bertanggungjawab terhadap keputusan dalam bidang kuasanya.
Atas keyakinan, ibu bapa menyerahkan anak kepada sekolah dengan kepercayaan yang besar. Justeru Belanjawan 2027 perlu menyokong amanah itu melalui dana yang mencukupi, tindakan yang tepat dan hasil yang boleh dinilai. Setiap ringgit untuk keselamatan sekolah ialah pelaburan dalam peluang seorang anak meneruskan masa hadapannya, bukan penyedia platform ‘hukuman’ yang menjejaskan masa depan generasi mendatang.
-- BERNAMA
Dr Hazimah Samin ialah Timbalan Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa.