NIBONG TEBAL, 6 Okt (Bernama) -- Lebih 20,000 penduduk Kampung Sungai Setar Besar, di sini menerima manfaat secara langsung hasil peruntukan keseluruhan RM700,000 menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata peruntukan itu melibatkan RM500,000 daripada Kementerian Kewangan bagi pembangunan infrastruktur, RM100,000 untuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta RM100,000 lagi khusus bagi Program SAM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh.
Beliau berkata pelaksanaan projek yang bermula Julai hingga Okt 2026 itu bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan kemudahan fizikal, malah merangkumi pembangunan modal insan, kemahiran dan potensi ekonomi masyarakat setempat.
"Program KAM merupakan pendekatan pembangunan yang memberi penekanan kepada kerjasama antara kerajaan dengan komuniti setempat dalam mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat dan melaksanakan intervensi bersesuaian.
"Ia bukan sekadar projek pembangunan, sebaliknya satu cerita tentang harapan, semangat dan perubahan dalam membentuk kehidupan yang lestari dan sejahtera," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Program KAM JKM 2026 di Masjid Al-Fatah Sungai Setar Besar, di sini hari ini.
Beliau berkata pemilihan Kampung Sungai Setar Besar sebagai Kampung Angkat MADANI amat bertepatan dengan identiti dan keunikan penempatan tersebut yang masih mengekalkan ciri-ciri kampung tradisional, khususnya menerusi aktiviti tanaman padi dan perikanan.
"Namun begitu, tradisi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kemajuan. Sebaliknya, kita perlu menggabungkan kekuatan tradisi dengan teknologi, inovasi dan kemahiran moden supaya masyarakat kampung terus maju tanpa kehilangan identiti serta akar budaya mereka," katanya.
Che Murad Sayang berkata menerusi Teras Infrastruktur dengan peruntukan RM314,000 yang disalurkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS), sebanyak lima projek utama telah berjaya dilaksanakan.
Projek berkenaan katanya, meliputi penyediaan ruang solat baharu serta pemindahan kolah wuduk di Masjid Al-Fatah, naik taraf Taman Permainan Kampung Sungai Setar Besar dan Kampung Sungai Tok Tuntung, pemasangan awning serta pintu gelongsor kaca di Tabika Kemas Tanah Kebun dan pembinaan Mercu Tanda Kampung Sungai Setar Besar.
Bagi Program SAM di SMK Sungai Acheh pula, beliau berkata JKM menambah baik pelbagai kemudahan termasuk pembinaan ruang amali penternakan burung puyuh yang kini berjumlah lebih 100 ekor serta melatih pelajar dalam sembelihan dan pemprosesan untuk jualan, perolehan alatan studio audio siar “Sembang Bestari”, kelengkapan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta penyediaan kelas digital menggunakan papan pintar.
Mengulas mengenai pemerkasaan belia, Che Murad Sayang berkata Program TVET kendalian PERDA-TECH turut berjaya melatih 25 pelajar PERDA-TECH dan 15 belia tempatan menerusi Projek Tanaman Padi Satu Musim seluas tiga hektar serta latihan pengendalian dron dan jentera berat.
"Penggunaan dron dalam sektor pertanian bagi kerja penaburan benih, pembajaan dan penyemburan racun mampu menjadikan proses pertanian lebih cepat, tepat dan menjimatkan kos, sekali gus membuka peluang pekerjaan serta pendapatan baharu kepada belia menerusi perkhidmatan sewaan dron," katanya sambil menambah hasil tanaman padi berkenaan dijangka dapat dituai pada Disember ini.
Selain itu, beliau berkata program berkenaan turut dimeriahkan dengan Program JATI@KAM yang melibatkan 60 peserta Perintah Khidmat Masyarakat dan Sekolah Tunas Bakti dari Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang menerusi aktiviti gotong-royong membersihkan masjid serta tanah perkuburan kariah.
-- BERNAMA