Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Selasa di tengah-tengah gangguan bekalan yang disebabkan oleh hujan lebat di beberapa negara pengeluar utama.
Seorang peniaga berkata hujan berterusan di Asia Tenggara menjejaskan aktiviti menoreh getah, sekali gus mendorong kenaikan harga fizikal dan seterusnya meningkatkan sentimen pasaran.
Beliau berkata, sentimen itu turut disokong oleh jualan yang menggalakkan dalam industri automotif global, dengan jualan kenderaan elektrik di seluruh Kesatuan Eropah mencatatkan rekod sebanyak 1.64 juta unit bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, iaitu peningkatan 45 peratus tahun ke tahun.
“Sementara itu, kenderaan utiliti sukan dan trak terus menyumbang kepada sebahagian besar jualan kenderaan baharu di Amerika Syarikat (AS), manakala beberapa model sedan mencatatkan pertumbuhan jualan yang berterusan pada 2026, diterajui oleh Honda dan Toyota,” katanya.
Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh isyarat bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah yang lebih rendah dan nilai ringgit yang sedikit lebih kukuh berbanding dolar AS.
Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) kekal tidak berubah pada 1,053.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat 4.5 sen kepada 758.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA