Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Selasa ketika para pelabur memantau rapat perkembangan Belanjawan 2027, yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, bagi mendapatkan petunjuk baharu, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0835/0880 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0845/0890 pada Isnin.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Beliau berkata ringgit mengekalkan dagangan jajaran kecil hari ini antara RM4.0848 hingga RM4.0880, manakala Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.14 peratus kepada 102.028 mata.
"Namun begitu, DXY masih kekal positif, dengan jangkaan kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) AS yang lebih tinggi dijangka terus menyokong dolar AS," katanya kepada Bernama.
Pada sesi penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah hari ini berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5807/5837 daripada 2.5858/5886 pada Isnin, namun menyusut berbanding euro kepada 4.5907/5957 daripada 4.5775/5825 serta turun berbanding pound Britain kepada 5.4066/4125 daripada 5.4022/4081 sebelumnya.
Ringgit juga ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempat meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 daripada 6.52/6.53 pada Isnin, namun menyusut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1935/1975 daripada 3.1905/1943.
Ringgit juga turun sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 228.1/228.4 daripada 227.9/228.3, dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1424/1609 daripada 12.1234/1411 sebelumnya.
-- BERNAMA