Dunia 06/10/2026 08:45 PM

Program Pelawat MTCP Bantu Peserta Lebih Faham Malaysia, Bina Rangkaian Profesional

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Program Pelawat MTCP Bantu Peserta Lebih Faham Malaysia, Bina Rangkaian Profesional
Parviz Sami

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pengalaman yang diperoleh daripada Program Pelawat Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) membantu peserta memahami bahawa pembangunan Malaysia bukan sahaja mengenai pertumbuhan ekonomi, tetapi juga tentang memelihara budaya, mempromosikan pelancongan, menerima kepelbagaian dan mencipta peluang merentasi wilayah berbeza.

Wakil peserta MTCP, Parviz Sami dari Tajikistan, berkata program itu berharga bukan sahaja kerana ilmu yang diperoleh, malah peserta diberi peluang untuk merasai pengalaman Malaysia dari perspektif berbeza.

"Kami berharap hubungan yang terjalin semasa program ini akan terus berkembang dan menjadi kerjasama praktikal antara Malaysia dan semua negara kita," kata setiausaha pertama di Kementerian Luar Negeri Tajikistan dalam ucapannya semasa majlis penutupan MTCP di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, 11 pelawat dari sembilan negara -- Azerbaijan, Bahrain, Iran, Kyrgyzstan, Oman, Tajikistan, Türkiye, Turkmenistan dan Uzbekistan -- menerima sijil mereka untuk Program Pelawat MTCP: Dasar dan Pembangunan Negara Malaysia.

Inisiatif pengenalan dasar selama dua minggu itu diadakan dari 20 Sept hingga 6 Okt, anjuran Kementerian Luar untuk pegawai kementerian luar peringkat pertengahan yang bertanggungjawab dalam hubungan dua hala dengan Malaysia.

Program itu menggabungkan lawatan negeri dan penglibatan kebudayaan di lokasi terpilih termasuk Parlimen dan Petronas di Kuala Lumpur; Kementerian Digital dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya; Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) sekali gus membolehkan peserta melihat amalan tadbir urus pada peringkat persekutuan dan negeri.

Ia bertujuan memupuk rangkaian profesional jangka panjang antara pegawai kerajaan Malaysia dan peserta, meningkatkan persefahaman bersama dan mengukuhkan perkongsian diplomatik strategik melalui penglibatan dan kerjasama berterusan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa Kementerian Luar Malaysia Devrin Jeck dalam ucapannya berkata selain kuliah dan lawatan sambil belajar, kekuatan sebenar MTCP terletak pada rangkaian berkekalan dan hubungan profesional yang dibina semasa pertukaran itu.

“Program Pelawat ini disusun bukan sahaja untuk membentangkan perjalanan dasar Malaysia, tetapi juga untuk mewujudkan ruang perkongsian bagi dialog.

“Setiap laluan pembangunan negara adalah unik, namun cabaran yang kita hadapi dalam mengemudi transformasi ekonomi, pelaksanaan dasar dan pertumbuhan mampan dikongsi secara mendalam,” katanya.

Menurut Jeck, sejak penubuhannya pada 1980, MTCP telah berdiri sebagai komitmen pada semangat Kerjasama Selatan-Selatan, dibina berdasarkan prinsip bahawa pembangunan mampan paling baik dicapai menerusi pembelajaran bersama, perpaduan dan perkongsian pengalaman praktikal.

Atase Kementerian Luar Kyrgyzstan Edil Kazybaev menyifatkan MTCP sebagai peluang untuk memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai struktur kerajaan Malaysia dan pengetahuan itu berharga dalam membina hubungan dua hala yang lebih kukuh.

Setiausaha Ketiga Kementerian Hal Ehwal Luar Bahrain Abdulrahman Janahi berkata pengalaman indah yang diperolehi daripada program MTCP melawat ke tempat-tempat menarik dan bertemu rakyat yang mesra telah membuatkan beliau berharap untuk dihantar ke Kuala Lumpur pada masa hadapan.

-- BERNAMA