Am 06/10/2026 09:53 PM

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Selepas Peniaga Mula Ambil Untung

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan MSM  Ditutup Rendah Selepas Peniaga Mula Ambil Untung

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas aktiviti pengambilan untung muncul berikutan lantunan semula semalam.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih lemah dan kebimbangan terhadap peningkatan inventori domestik telah membebani sentimen.

Setakat ini, minyak mentah Brent merosot 2.57 peratus kepada US$97.74 setong.

“Harga minyak mentah yang lebih rendah telah menjejaskan harga minyak sawit, memandangkan penggunaannya secara meluas sebagai bahan mentah biobahan api.

“Kami melihat harga disokong pada paras RM4,500 setan, dengan rintangan pada RM4,650 setan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, kontrak Oktober 2026 susut RM50 kepada RM4,340 satu tan, November 2026 berkurangan RM23 kepada RM4,457 satu tan dan kontrak Disember 2026 turun RM18 kepada RM4,560 satu tan.

Sementara itu, Januari 2027 merosot RM9 kepada RM4,663 satu tan, Februari 2027 jatuh RM3 kepada RM4,758 satu tan dan Mac 2027 menambah RM2 kepada RM4,843 satu tan.

Jumlah dagangan pula meningkat kepada 92,828 lot berbanding 87,313 yang dicatatkan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 329,375 kontrak daripada 329,113 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan susut RM40 kepada RM4,380 setan.

-- BERNAMA