HANOVER, 6 Okt (Bernama-dpa) -- Sebuah mahkamah Jerman pada Selasa menolak saman yang menuntut pampasan tambahan bagi waris mangsa nahas Germanwings yang mengorbankan 150 nyawa pada 2015, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mahkamah Wilayah Braunschweig memutuskan bahawa waris boleh mengemukakan tuntutan terhadap Germanwings tetapi tidak berhak mendapatkan pampasan daripada kerajaan Jerman.
Hakim yang mempengerusikan prosiding merujuk kepada Konvensyen Montreal yang mengawal liabiliti dalam perjalanan udara antarabangsa.
Pada 24 Mac 2015, sebuah pesawat Germanwings yang dalam penerbangan dari Barcelona ke Dusseldorf terhempas di kawasan Alps Perancis, mengorbankan kesemua 144 penumpang dan enam anak kapal.
Kebanyakan mangsa adalah dari Jerman dan Sepanyol.
Siasatan mendapati pembantu juruterbang sengaja menerbangkan pesawat milik anak syarikat Lufthansa itu ke arah sebuah gunung sehingga terhempas.
Seramai 30 waris menuntut sehingga €110,000 (US$124,000) daripada kerajaan Jerman.
Plaintif berhujah bahawa tahap kelayakan pembantu juruterbang itu untuk menerbangkan pesawat tidak dipantau secukupnya ketika kejadian dan penilaian perubatan penerbangan yang dijalankan tidak cukup menyeluruh berhubung kemungkinan masalah kesihatan mental.
Bagaimanapun, mahkamah sebelum ini tidak memberikan banyak harapan kepada plaintif ketika prosiding bermula.
Mahkamah memberi amaran bahawa saman berkenaan tidak mempunyai prospek untuk berjaya dan pihak yang menuntut akan mempunyai peluang lebih baik jika mengemukakan tuntutan terhadap syarikat penerbangan itu.
Kes sivil terhadap kerajaan negeri itu didengar di Lower Saxony kerana Pejabat Penerbangan Persekutuan (LBA) beribu pejabat di Braunschweig.
-- BERNAMA-dpa