JOHOR BAHRU, 6 Okt (Bernama) -- Kebakaran di parkir bawah tanah aras dua pusat beli-belah Johor Bahru City Square di sini petang tadi dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4), sekali gus menepis spekulasi tular di media sosial yang mengaitkan kejadian itu dengan kenderaan elektrik (EV).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) I Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.40 petang sebelum jentera tiba di lokasi enam minit kemudian.
Beliau berkata operasi itu melibatkan 52 anggota daripada BBP Larkin, BBP Tebrau, BBP Kempas dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram, selain Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) pusat beli-belah berkenaan.
“Daripada 11 kenderaan yang terjejas, lapan daripadanya mengalami kemusnahan dianggarkan antara 80 hingga 90 peratus, dua terjejas 30 hingga 40 peratus, manakala sebuah lagi rosak kira-kira 10 peratus,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Suhaimi berkata empat individu termasuk seorang warga Singapura mengalami sesak nafas dalam kejadian itu, namun hanya seorang dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata sistem penyedut asap (smoke extractor) dan sistem keselamatan kebakaran bangunan itu turut membantu operasi anggota bomba, khususnya dalam usaha mengesan punca kebakaran ketika berdepan keadaan yang dipenuhi asap tebal.
Menurutnya pusat beli-belah berkenaan kembali beroperasi seperti biasa kira-kira 7 malam selepas ditutup sementara susulan kebakaran itu.
Bagaimanapun, kawasan parkir bawah tanah yang terjejas masih ditutup bagi membolehkan Unit Forensik menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta menganggarkan nilai kerugian.
Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar tular di media sosial memaparkan kepulan asap tebal keluar dari bangunan berkenaan, selain pengunjung serta pekerja dilihat bergegas meninggalkan premis.
Turut tular dakwaan bahawa kebakaran itu berpunca daripada sebuah EV.
-- BERNAMA