KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) mengumpul sebanyak US$1.31 bilion melalui terbitan semula sukuk jangka pendek, dengan menerima tempahan berjumlah kira-kira US$2.33 bilion dalam keadaan pasaran bon global yang tidak menentu.
Senarai tempahan beli dan jual berdasarkan paras harga itu terlebih langganan sebanyak 1.78 kali, sekali gus menunjukkan permintaan berterusan pelabur terhadap sekuriti Islam jangka pendek IILM yang mempunyai penarafan tinggi ketika pasaran berdepan ketegangan geopolitik, konflik di rantau Teluk, harga tenaga yang tinggi serta tekanan inflasi berterusan.
Menurut IILM dalam kenyataan hari ini, sukuk berkenaan diterbitkan dalam lima pilihan tempoh matang iaitu satu bulan, dua bulan, empat bulan, enam bulan dan 12 bulan.
IILM memaklumkan transaksi itu dilaksanakan ketika pasaran pendapatan tetap global yang mencabar, dengan keperluan pembiayaan kerajaan yang besar serta jangkaan bahawa kadar faedah kekal tinggi untuk tempoh lebih panjang, yang meningkatkan ketidaktentuan pasaran.
“Jumlah tempahan yang kukuh dan diterima ketika pasaran bon global semakin tidak menentu mencerminkan keluasan dan daya tahan asas pelabur antarabangsa IILM serta permintaan berterusan terhadap sukuk jangka pendeknya yang mempunyai penarafan tinggi sebagai instrumen pengurusan mudah tunai atau kecairan Islam berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu.
Terbitan terbaru itu juga menjadikan jumlah terbitan IILM pada 2026 melebihi US$22.9 bilion yang diperoleh sepanjang 2025.
Setakat ini pada tahun ini, IILM telah menerbitkan sukuk bernilai US$23.424 bilion menerusi 93 siri sukuk, dengan empat lagi lelongan dijadualkan sebelum akhir tahun ini.
Terbitan itu dilaksanakan melalui program penerbitan sukuk jangka pendek IILM bernilai US$8.5 bilion, dengan masing-masing mempunyai penarafan jangka pendek “A-1” dan “F1” daripada S&P Global Ratings dan Fitch Ratings.
IILM memaklumkan akan terus menawarkan sukuk jangka pendek dengan tempoh matang antara dua minggu hingga 12 bulan bagi memenuhi keperluan pengurusan mudah tunai institusi kewangan Islam.
-- BERNAMA