Am 07/10/2026 12:29 AM

521kg Dadah Dalam Jet Persendirian Bukan Dari Malaysia - PDRM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
521kg Dadah Dalam Jet Persendirian  Bukan Dari Malaysia - PDRM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pesawat jet persendirian yang dikaitkan dengan cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) methamphetamine ke Filipina dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang tanpa membawa sebarang muatan dadah sebelum mengambil bekalan itu di Laos.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata berdasarkan maklumat pihak berkuasa Laos, pesawat sewaan khas itu berlepas dari Subang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos pada 1 Okt lepas.

Beliau berkata penerbangan berkenaan hanya dinaiki tiga individu, terdiri daripada seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang rakyat Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.

“Dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya pasaran Malaysia. Pesawat berkenaan dipercayai digunakan untuk membawa muatan dadah tersebut dari Laos ke Manila,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mengulas kronologi kejadian berdasarkan maklumat dikongsi pihak berkuasa Laos, Hussein berkata pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan.

Beliau berkata kira-kira 1.30 tengah hari, dua kenderaan tiba di kawasan lapangan terbang sebelum beberapa kakitangan di situ membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan berkenaan untuk dibawa ke pesawat.

“Pemeriksaan ke atas kesemua 23 beg berkenaan menemukan 500 bungkusan dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 521 kg,” katanya.

Susulan operasi pihak berkuasa Laos itu, seramai 13 individu ditahan termasuk tiga individu yang menaiki pesawat berkenaan dari Subang.

Turut ditahan ialah 10 warga Laos terdiri daripada tiga kakitangan syarikat perkhidmatan darat lapangan terbang dan tujuh kakitangan yang mengendalikan mesin pengimbas sinar-X.

Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa negara berkenaan.

Hussein berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memulakan siasatan menyeluruh dan akan menghantar pegawai JSJN ke Laos dalam masa terdekat bagi merakam percakapan suspek.

“Langkah ini bertujuan mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan sindiket dadah yang terlibat, terutama (kemungkinan pembabitan anggota sindiket) di Malaysia,” katanya.

Kenyataan terbaharu itu sekali gus memperjelas bahawa pesawat berkenaan dipercayai tidak membawa dadah ketika berlepas dari Subang, susulan laporan awal yang mengaitkan penerbangan dari Malaysia itu dengan penemuan dadah bernilai jutaan ringgit di Laos.

-- BERNAMA