Am 07/10/2026 12:16 AM

MOTAC Lancar ASEAN Artpreneur Retreat 2026, Perkasa Bakat Kreatif

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MOTAC Lancar ASEAN Artpreneur Retreat 2026, Perkasa Bakat Kreatif

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara hari ini melancarkan ASEAN Artpreneur Retreat (AAR) 2026 bagi membantu usahawan kreatif mengembangkan idea mereka menjadi produk untuk dipasarkan serta perniagaan yang mampan.

Kenyataan MOTAC hari ini memaklumkan program 15 hari itu, yang berlangsung dari 5 hingga 19 Okt di bawah tema Innovate and Elevate, bertujuan memperkukuh kemahiran keusahawanan, menggalakkan perkongsian ilmu dan memperluas peluang dalam ekonomi kreatif serantau.

“AAR 2026 menggabungkan dialog kreatif, bimbingan dan pembangunan keusahawanan secara praktikal dengan memfokus kepada pembangunan produk, kesiapsiagaan pasaran, pengkomersialan serta model perniagaan mampan.

“Peserta akan mengadakan sesi libat urus dengan pakar dan penggiat industri kreatif bagi memperkemas idea mereka, memahami keperluan pasaran serta memperkukuh keupayaan perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Program itu dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man di Menara Kuala Lumpur.

MOTAC memaklumkan program itu turut menampilkan alumni program Young Art Entrepreneur (YAE!), yang akan menyediakan bimbingan rakan sebaya dalam aspek penerokaan pasaran, pembinaan jenama dan peningkatan skala pengeluaran.

Sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, peserta akan membangunkan produk atau perkhidmatan baharu yang diinspirasikan daripada tema kempen berkenaan, dengan memanfaatkan aset budaya tempatan bagi memperkaya pengalaman pelawat dan mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk komuniti kreatif.

“Program ini akan diakhiri dengan pameran produk komersial yang menampilkan hasil pembangunan sepanjang program dan mengetengahkan keupayaan peserta dalam menterjemahkan konsep seni kepada produk serta perkhidmatan yang mempunyai potensi pasaran,” menurut kenyataan itu.

Berpandukan prinsip Malaysia MADANI, AAR 2026 menggariskan komitmen MOTAC untuk memperkasa bakat kreatif, menggalakkan kerjasama serantau dan memacu pertumbuhan ekonomi inklusif di seluruh ASEAN.

-- BERNAMA