KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memutuskan untuk tidak meneruskan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Negara (SKN) sebagai sebuah entiti baharu, selaras dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Bilangan 1 Tahun 2026.
Menerusi jawapan bertulis disiarkan laman sesawang Parlimen, KPN memaklumkan keputusan berkenaan selepas mengambil kira pandangan semua pihak setelah melaksanakan dua sesi libat urus.
“Libat urus berkenaan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil, agensi kerajaan, pakar akademik, pemimpin masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan bagi menilai keperluan, skop, implikasi, cabaran serta kebolehlaksanaan penubuhan suruhanjaya itu,” menurut kementerian itu.
KPN menjawab soalan Dr V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang ingin tahu status dan garis masa penubuhan SKN, kuasa penguatkuasaan yang dicadangkan serta jaminan bahawa suruhanjaya ini tidak bertindih dengan agensi sedia ada dalam menangani diskriminasi dan ketegangan antara kaum.
Sehubungan itu, KPN akan memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi sedia ada, iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Mediator Komuniti sebagai ejen peneraju pengurusan keharmonian sosial yang dilihat sebagai pendekatan yang praktikal, responsif dan kos efektif untuk memperkukuh pengurusan keharmonian sosial negara.
KPN turut memaklumkan langkah tidak meneruskan penubuhan SKN dapat mengelakkan pertindihan fungsi dan kos penubuhan entiti baharu.
Pada masa sama, KPN dapat memanfaatkan struktur, jaringan dan instrumen sedia ada yang telah dibangunkan oleh JPNIN melalui KRT, Mediator Komuniti, PRISMA, e-Sepakat, RAKAN dan jaringan pegawai perpaduan di peringkat negeri serta daerah.
-- BERNAMA