Ekonomi 06/10/2026 10:37 PM

Top Glove Sasar Kapasiti Pengeluaran 78 Bilion Keping Menjelang Akhir Tahun Kewangan 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Top Glove Sasar Kapasiti Pengeluaran 78 Bilion Keping Menjelang Akhir Tahun Kewangan 2027

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Top Glove menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran operasinya kepada 78 bilion keping sarung tangan setahun menjelang akhir tahun kewangan 2027, tertakluk kepada keperluan operasi dan ketersediaan sumber.

Pengarah Korporat Lim Cheong Guan berkata pengeluar sarung tangan itu mempunyai kapasiti pengeluaran terpasang kira-kira 95 bilion keping setahun, manakala kapasiti pengeluarannya yang sedang beroperasi berjumlah 72 bilion keping setakat 26 Ogos, meningkat daripada 64 bilion keping setahun sebelumnya.

Beliau berkata peningkatan kapasiti pengeluaran beroperasi itu sejajar dengan pemulihan permintaan, dengan kadar penggunaan kapasiti meningkat kepada 77 peratus pada tahun kewangan 2026 daripada 64 peratus pada tahun kewangan 2025.

“Walaupun kapasiti tambahan sebanyak lapan bilion unit dimasukkan pada tahun kewangan 2026, kadar penggunaan meningkat kepada 77 peratus. Pada September 2026, kami mencapai kadar penggunaan kapasiti sebanyak 79 peratus.

“Ketersediaan tenaga kerja kekal sebagai kekangan utama dalam usaha meningkatkan pengeluaran. Kami memberi tumpuan kepada pengoptimuman kemudahan sedia ada, peningkatan produktiviti dan pengembangan automasi, sambil memastikan kapasiti tambahan disokong oleh permintaan mampan dan pulangan yang munasabah,” katanya pada taklimat keputusan suku keempat  tahun kewangan 2026 kumpulan itu hari ini.

Sementara itu, mengenai prospek tahun kewangan 2027, Pengerusi Eksekutif Top Glove Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata prestasi keuntungan syarikat dijangka kekal mampan dan boleh berkembang kira-kira 10 peratus, sejajar dengan kadar pertumbuhan pasaran.

“Tahun kewangan 2027 sepatutnya dapat mengekalkan momentum dan menunjukkan prestasi lebih baik. Semasa pandemik, prestasi kami amat baik dan keuntungan meningkat jauh lebih tinggi, jadi kini kami kembali kepada trend biasa,” katanya.

Wee Chai berkata pertumbuhan keuntungan boleh melebihi 10 peratus sekiranya syarikat meningkatkan prestasi dengan bekerja lebih keras dan lebih bijak.

Mengenai jangkaan terhadap Belanjawan 2027, beliau berkata kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan levi eksport sarung tangan getah daripada 0.2 peratus kepada 0.1 peratus.

Beliau berkata industri itu telah memberikan sumbangan yang besar, sambil menyatakan bahawa sesetengah negara menyediakan insentif bagi menggalakkan eksport.

Mengenai permintaan global terhadap sarung tangan, Cheong Guan berkata prospeknya kekal positif secara berhati-hati dan permintaan dijangka melebihi 400 bilion unit pada tahun kalendar 2026.

Lebih penting lagi, pertumbuhan permintaan dan bekalan kini semakin seimbang, sekali gus menyumbang kepada persekitaran pasaran yang lebih sihat serta menyediakan asas yang lebih stabil bagi pemulihan margin selepas beberapa tahun yang mencabar.

Harga gas asli juga dijangka meningkat kira-kira 30 peratus mulai 1 Okt 2026, sekali gus memberi tekanan tambahan terhadap kos tenaga.

Bagi mengurangkan tekanan kos tenaga itu, Cheong Guan berkata syarikat akan terus melaksanakan inisiatif penjimatan kos, termasuk meningkatkan kecekapan tenaga haba dan automasi termaju.

“Dari segi harga, kami akan terus melaraskan harga jualan purata (ASP) sejajar dengan pergerakan kos bahan mentah, sambil mengekalkan harga yang kompetitif untuk pelanggan.

“Pendekatan penetapan harga kami akan kekal berdisiplin dan responsif terhadap keadaan pasaran. Kami akan memantau rapat harga bahan mentah, permintaan pelanggan serta perkembangan geopolitik bagi memastikan tindakan yang tepat pada masanya,” katanya.

-- BERNAMA