LAHAD DATU, 6 Okt (Bernama) -- Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 berlaku di perairan Sandakan pada 9.11 malam ini turut dirasai gegarannya oleh penduduk di Lahad Datu dan Tawau.
Seorang jururawat, Nur Damia Hanafi, 34, dari Lahad Datu, berkata gegaran itu dirasai sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke rumah.
"Ketika itu, kereta berhenti kerana lampu isyarat merah... saya sempat menonton drama dan kemudian tiba-tiba kereta rasa bergoncang.
"Saya sangka ada yang goncang (dari luar kereta) tetapi bukan... rasa sekejap saja gegaran itu, saya teruskan perjalanan pulang ke rumah, sekarang baru dapat tahu ada gempa bumi," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa berkenaan dikesan berkoordinat 4.9 darjah Utara dan 118.7 darjah Timur pada kedalaman 10 kilometer.
Menurut kenyataan itu, lokasi episentrum gempa bumi itu terletak kira-kira 48 kilometer di timur Lahad Datu.
Penjawat awam, Norusidah Ruslan, 45, juga dari Lahad Datu, berkata gegaran itu dirasai ketika dia menyiapkan kerja-kerja sulaman berlian pada baju dan melihat baju-baju sulaman lain yang tergantung bergoyang.
"Saya ingatkan saya pening tetapi apabila melihat baju-baju yang tergantung bergoyang, saya sedar gegaran itu semakin kuat.
"Kejadian ini pengalaman pertama saya merasai gegaran gempa bumi, saya berasa panik lalu menghubungi suami yang berada di rumah kawan... saya bimbangkan keselamatan suami dan bertanya sama ada gegaran itu turut dirasai di kawasan lain," katanya.
Suri rumah Nur Medina Abdullah, 40, pula berkata ketika gegaran berlaku, dia berada di dapur untuk mengemas dan sempat merasainya selama beberapa saat.
"Pada mulanya, saya ingat saya pening malah terfikir mungkin ada gangguan hantu kerana ketika itu, saya seorang diri di dapur, rupanya gegaran," katanya yang juga berasal dari Lahad Datu.
Sementara itu, gegaran turut dirasai penduduk di Tawau dan seorang pemandu e-panggilan Muhd Andri Sapar, 35, berkata gegaran tersebut dirasai kira-kira 8 saat ketika minum bersama dengan kawannya di sebuah hotel di bandar.
"Gegaran rasa kuat tetapi sekejap, (ketika itu) saya (sedang) duduk dan bercerita dengan kawan, tiba-tiba rasa bergoyang, air dalam gelas berkocak," katanya.
Bagi Siti Amilah Terence, 35, dia merasai gegaran itu ketika keluar dari sebuah kedai telefon di bandar Tawau.
"Saya dan suami merasai gegaran itu tetapi tidak lama… ketika gegaran itu, saya rasa badan tidak stabil dan pening," kata suri rumah itu.
-- BERNAMA