Am 06/10/2026 10:13 PM

Maxis Perkenal Penyelesaian Komunikasi Misi Kritikal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Maxis Perkenal Penyelesaian Komunikasi Misi Kritikal
Kredit: Maxis

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Maxis Berhad (Maxis) menjadi penyedia telekomunikasi pertama di Malaysia yang memperkenalkan penyelesaian Komunikasi Misi Kritikal (MCC) bagi memperkukuh daya tahan operasi sektor pertahanan dan keselamatan.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyelesaian yang ditawarkan menerusi Maxis Business itu menghubungkan petugas barisan hadapan dan pasukan respons kecemasan secara terus dengan pusat kawalan menerusi rangkaian komunikasi khusus yang direka untuk beroperasi dalam persekitaran lapangan mencabar.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Prateek Pashine berkata infrastruktur digital dalam era kecerdasan buatan (AI) perlu selamat, berskala dan berdaulat bagi memastikan kesinambungan operasi kritikal.

“Bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan dan menjaga keselamatan negara, ketersambungan yang diyakini adalah amat penting.

“Kami bersedia menyokong angkatan tentera, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pasukan respons kecemasan menerusi keutamaan rangkaian, sekali gus membolehkan pasukan memperoleh gambaran situasi masa nyata untuk menyelaras tindakan dengan berkesan serta memperkukuh daya tahan operasi,” katanya.

Menurut Maxis, rangkaian komersial berpotensi mengalami kesesakan ketika berlaku kecemasan dan bencana alam, manakala MCC memberikan keutamaan rangkaian bagi membantu memastikan komunikasi suara, video serta data kritikal kekal berfungsi ketika permintaan berada pada tahap tinggi.

Teknologi itu turut membolehkan pasukan di lapangan menggabungkan komunikasi tekan-untuk-cakap (push-to-talk) segera dengan penstriman video secara langsung serta data daripada sensor, sekali gus memberikan gambaran operasi menyeluruh kepada petugas di pusat kawalan.

Penyelesaian berkenaan dipamerkan pada Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2026 yang bertemakan “Building Digital Infrastructure for the AI World”.

Acara itu turut dihadiri pegawai daripada Kementerian Digital, Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia serta pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

Maxis memaklumkan inisiatif itu meneruskan usaha Maxis Business menyediakan infrastruktur digital yang selamat dan berdaya tahan menerusi penyertaan dalam CyberDSA, selepas memperkenalkan Rangkaian Selamat Kuantum (Quantum Safe Networking) pada penganjuran acara berkenaan tahun lepas.

-- BERNAMA